BUKIT KAYU HITAM – Cubaan menyeludup 7,000 liter minyak diesel menggunakan dua buah treler yang diubah suai berjaya digagalkan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu operasi di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, awal pagi Rabu.Menurut Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasarudin M Nasir, pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pasukan penguat kuasa pada jam 7.30 pagi di Blok A kompleks berkenaan telah menemui ruang simpanan tersembunyi di bahagian bawah treler yang digunakan untuk menyorok minyak diesel."Hasil pemeriksaan mendapati setiap treler menyimpan kira-kira 3,500 liter minyak diesel, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 7,000 liter," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM320,000, merangkumi nilai minyak diesel sebanyak RM20,000 berdasarkan harga pasaran semasa, serta dua buah treler yang dianggarkan bernilai RM300,000.Kes berkenaan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Kedah untuk siasatan lanjut, manakala minyak diesel dirampas dan kedua-dua kenderaan itu disita untuk tindakan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.Menurut Mohd Nasarudin, kes disiasat di bawah Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana mengendalikan barang kawalan tanpa kebenaran bertulis."Mana-mana individu yang mengilang, menjual, menyimpan, memiliki, mengangkut atau mengedar barang kawalan tanpa lesen atau permit adalah melakukan kesalahan," tegasnya.Minyak diesel dikategorikan sebagai barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan 1974, dan sebarang cubaan membawa atau menyeludup bahan tersebut tanpa kebenaran adalah satu kesalahan serius di sisi undang-undang.