Malaysia sumbang RM420,000 untuk Tabung Bencana ASEAN

SHAH ALAM - Malaysia menunjukkan keprihatinan tinggi terhadap solidariti serantau apabila mengumumkan sumbangan one-off sebanyak RM420,000 kepada Tabung Pengurusan Bencana dan Bantuan Kecemasan ASEAN (ADMER Fund).Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sumbangan itu mencerminkan semangat kebersamaan Malaysia bersama negara-negara ASEAN dalam memperkukuh keupayaan rantau berkenaan menghadapi bencana dan krisis kemanusiaan."Malaysia sentiasa komited untuk memperkukuh daya tahan serantau dalam menghadapi bencana dan krisis kemanusiaan sejajar dengan semangat 'One ASEAN, One Response'."Bagi memperkukuhkan lagi komitmen ini, Malaysia telah mengumumkan sumbangan one-off sebanyak RM420,000 bersamaan dengan AS$100,000 kepada ASEAN ADMER Fund," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berucap mewakili Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-13 dan Persidangan Pihak-Pihak kepada AADMER (COP-AADMER) Ke-14, di Phnom Penh, Kemboja, pada Rabu.Menurutnya, sumbangan berkenaan menunjukkan semangat solidariti Malaysia bersama semua negara-negara ASEAN serta tanggungjawab bersama untuk memastikan mekanisme ASEAN, khususnya Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre) di Jakarta, terus diperkasakan.Jelas beliau, ia bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan cepat, berkesan dan berasaskan keperluan.Ahmad Zahid berpandangan, sumbangan Malaysia terbabit mencerminkan komitmen berterusan terhadap ASEAN 'Collective Resilient Agenda' ataupun agenda ketahanan kolektif ASEAN."Malaysia yakin semangat kerjasama itu akan menggalakkan negara-negara anggota dan rakan-rakan serantau untuk terus memperkukuh tabung ADMER sebagai tonggak kesiapsaan dan tindak balas bencana di kalangan negara-negara ASEAN," ujarnya lagi.Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kebanggaan terhadap peranan aktif Malaysia dalam inisiatif serantau, antaranya menjadi tuan rumah gudang serantau DELSA di Subang, menyokong latihan dan penugasan pasukan ASEAN-ERAT, serta memperjuangkan penubuhan Pasukan Sedia Siaga Ketenteraan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dan Tindakan Bencana (AMRG on HADR).Kongsi Ahmad Zahid lagi, tindakan pantas dan penyelarasan di kalangan negara-negara ASEAN dalam menangani bencana gempa bumi di Myanmar awal tahun ini membuktikan semangat perpaduan dan kerjasama di bawah kerangka AADMER.Beliau menegaskan visi Malaysia untuk melihat ASEAN menerajui kepimpinan global dalam bidang ketahanan bencana dengan pendekatan yang inovatif, inklusif dan berteraskan rakyat."Insya-ALLAH, ASEAN akan terus membina sistem yang mampu menyelamatkan nyawa,mengurangkan penderitaan, dan melindungi sumber kehidupan buat generasi akan datang," katanya.