HASRAT skuad muda negara meneruskan aksi cemerlang pada perlawanan keempat Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 terbantut apabila tumpas 1-4 kepada juara bertahan, Great Britain di Stadium Hoki Johor, Taman Daya pada Rabu.Kekalahan itu menyaksikan skuad Young Tigers berdepan tugas berat dalam misi wajib menang ke atas India Jumaat ini bagi merealisasikan sasaran podium pada edisi kali ini.Pada aksi berkenaan, Great Britain terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti Kaden Draysey pada minit ke-10.Tersentak dengan jaringan itu, pemain tengah negara, Adam Asyraf Johari kemudiannya menggamatkan stadium apabila mengikat kedudukan hasil gol padang pada minit ke-17.Bagaimanapun, kegembiraan skuad muda negara hanya bertahan dua minit apabila Great Britain yang dibimbing Jon Bleby kembali di depan menerusi gol padang Jonny Hibbitt Sturch pada minit ke-19 dan disusuli gol ketiga hasil jaringan Monty Neave pada minit ke-26.Jonny kemudiannya menggandakan jaringan peribadi menerusi gol padang pada minit ke-39 bagi melebarkan jurang gol, sekali gus mengesahkan kemenangan Great Britain.Untuk rekod, skuad Young Tigers tewas 2-7 kepada Pakistan sebelum mengikat Australia 1-1 dan menewaskan New Zealand 4-2 pada Selasa.Tempoh rehat sehari pada Khamis dilihat menjadi peluang terbaik buat skuad muda negara mengembalikan semula kekuatan fizikal dan mental sebagai persediaan berdepan India.Jumaat bakal menjadi aksi terakhir buat semua pasukan apabila Malaysia akan menutup pusingan 'round robin' menentang India pada jam 4.05 petang, sementara Great Britain akan bertemu New Zealand pada jam 6.15 petang.Dua pasukan terbaik kejohanan bakal berentap di pentas akhir pada Sabtu bagi memburu gelaran juara pada edisi kali ini.