Pertimbang guna pengimbas logam di sekolah berisiko tinggi

SHAH ALAM - Penggunaan pengimbas logam mudah alih boleh dipertimbangkan di sekolah yang dikenal pasti berisiko tinggi mempunyai rekod kes buli, keganasan pelajar atau masalah kesihatan mental kritikal.Pakar Kriminologi Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Zalmizy Hussin berkata, langkah terbabit boleh dijadikan pencegahan sementara atau digunakan ketika program pemeriksaan khas dan bukannya dilaksanakan setiap hari kepada semua pelajar.Beliau berkata, cadangan penggunaan alat pengesan logam di sekolah itu bukanlah sesuatu yang mustahil, namun ia perlu diteliti secara menyeluruh sebelum dilaksanakan."Cadangan tersebut wajar dilihat dari pelbagai sudut termasuk kesesuaian, keperluan sebenar, kos serta kesannya terhadap suasana pembelajaran."Sekolah merupakan institusi pendidikan, bukan institusi tahanan atau pusat pemeriksaan keselamatan."Pendekatan kawalan fizikal yang keterlaluan boleh menimbulkan suasana tidak selesa dan tekanan psikologi kepada pelajar," katanya.Bagaimanapun beliau menegaskan, aspek yang lebih penting adalah mekanisme pengesanan awal risiko yang menumpukan kepada tingkah laku pelajar berisiko seperti perubahan emosi mendadak, kemurungan atau kecenderungan agresif."Sistem pemantauan itu boleh dibangunkan melalui kerjasama antara guru, kaunselor, ibu bapa dan pakar psikologi klinikal."Kita tidak hanya mahu kesan senjata, tetapi lebih penting ialah mengesan tekanan dan emosi tidak stabil sebelum pelajar itu mengambil tindakan berbahaya," ujarnya.Zalmizy berkata, kaedah spot check atau pemeriksaan mengejut terhadap pelajar juga perlu dilihat secara seimbang antara keperluan keselamatan dan hak pelajar."Langkah paling berkesan bukan sekadar dengan alat pengesan logam atau pemeriksaan beg, tetapi melalui sistem amaran awal dan pendidikan kesejahteraan emosi di sekolah."Pengesan logam boleh mengesan pisau, tetapi hanya kasih sayang, empati dan pendidikan jiwa boleh mengesan luka yang tersembunyi," katanya.Dalam pada itu, pandangan berbeza diberikan Pakar Kriminologi dari Kolej Universiti Manipal Malaysia, Nadiah Syariani Md Shariff yang berpendapat, alat pengesanan logam tidak sesuai digunakan di sekolah kerana memerlukan bajet besar.Menurutnya, pemasangan alat pengesan logam juga dikhuatiri memerlukan penyelenggaraan berkala sekali gus memerlukan kos dan sumber tenaga tambahan."Tidak dinafikan alat pengesan logam bertujuan untuk memperketatkan pengawasan keselamatan di sekolah, tapi ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara lain yang melibatkan peranan pelbagai pihak."Cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) lebih realistik dalam pemantauan tingkah laku pelajar dan guru, serta dalam kes jenayah ia juga boleh menjadi bahan bukti digital," katanya.Pada Selasa, seorang pelajar berusia 16 tahun maut ditikam pelajar lelaki di sebuah sekolah di Damansara.Suspek, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dilaporkan membawa dua senjata tajam ke sekolah sebelum menikam mangsa.