SKUAD ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki negara, Bunga Raya, berikrar untuk tampil lebih garang apabila turun beraksi dalam Siri Kedua Kejuaraan Ragbi 7s Asia 2025 yang bakal berlangsung di Colombo, Sri Lanka, hujung minggu ini.Semangat baharu itu membara selepas skuad bimbingan Nik Safuan Ismade Nik Man menamatkan saingan Siri Pertama di Hangzhou, China dengan berada dalam kelompok enam terbaik, meskipun tewas 17-26 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi penentuan kedudukan.Bagi kempen di Colombo, barisan negara memperkemas segala persiapan dengan menampilkan gabungan pemain berpengalaman dan muka baharu, antaranya Leoabrenwee Ferin, yang mencuri perhatian ketika melakukan penampilan sulung di Hangzhou sebelum ini.Ferin, yang sebelum ini mewakili Putrajaya dalam Kejohanan 7s Kebangsaan, mengakui cabaran awal bersama skuad kebangsaan bukan mudah, terutama dalam usaha menyesuaikan diri dengan rentak dan intensiti ragbi di peringkat Asia."Cabaran paling besar bagi saya ialah menyesuaikan diri dengan corak permainan tujuh sebelah yang pantas dan menuntut ketahanan tinggi."Saya kini sudah bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal untuk memberikan aksi terbaik pada kejohanan minggu ini," kata pemain berusia 21 tahun itu kepada Sukan Sinar.Biarpun masih hijau di pentas antarabangsa, Ferin tidak mahu sekadar menjadi pelengkap pasukan, sebaliknya, bertekad membuktikan dirinya mampu menjadi antara nadi utama pasukan Bunga Raya 7s pada masa depan."Saya amat berbangga diberi peluang menyarung jersi kebangsaan. Ia satu penghormatan besar dan saya mahu jadikan pengalaman ini sebagai batu loncatan untuk terus maju."Saya juga mahu berkongsi segala ilmu serta pengalaman yang saya kutip di peringkat tertinggi dengan rakan-rakan di Malaysia, khususnya pemain muda yang bercita-cita mahu mengharumkan nama negara," ujarnya.