KUALA LUMPUR - Isu tenaga bukan lagi topik yang terhad kepada pemain industri semata-mata, sebaliknya perlu difahami dan dibincangkan secara terbuka oleh masyarakat termasuk golongan muda.Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kesedaran awal mengenai kepentingan tenaga dan kelestarian sumber merupakan asas penting dalam membentuk pengguna yang lebih bertanggungjawab terhadap masa depan negara."Usaha memperkukuh kefahaman tenaga harus bermula di peringkat sekolah dan universiti supaya pelajar memahami peranan mereka dalam menjayakan agenda peralihan tenaga negara."Isu tenaga perlu dikupas dengan lebih terbuka. Walaupun pelajar mungkin datang daripada pelbagai minat dan bidang, mereka tetap sebahagian daripada ekosistem tenaga negara," katanya.Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi Pocket Talks dan Coffee Sessions anjuran Malaysia Energy Literacy Program (MELP) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Rabu.Program anjuran PETRA dengan kerjasama rakan strategik MELP iaitu Suruhanjaya Tenaga, Tenaga Nasional Berhad (TNB), SEDA Malaysia, Yayasan Hijau Malaysia, Malakoff, MGTC, MyPOWER Corporation, Nur Power dan Edra Energy itu diadakan bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43.Program yang berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober itu menumpukan kepada pendedahan dan perbincangan pelbagai topik seperti tenaga nuklear, tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan keselamatan elektrik khususnya kepada pelajar sekolah dan universiti.Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut hadir memeriahkan program berkenaan pada Rabu.Akmal Nasrullah berkata, melalui platform seperti MELP, pelbagai agensi serta pihak berkepentingan digerakkan untuk menyemai kefahaman tenaga secara inklusif kepada semua lapisan masyarakat."Kita di peringkat PETRA mengambil peluang sepanjang minggu persidangan ini bukan sahaja melalui ekspo dan forum perniagaan, tetapi juga melalui segmen seperti Coffee Talks yang memberi ruang kepada pelajar berdialog secara santai dengan pihak kementerian," jelasnya.Penganjuran itu turut melibatkan 336 pelajar dan mahasiswa daripada tujuh sekolah serta empat universiti, selain penyertaan wakil Youth ASEAN on Energy yang dijemput berkongsi pandangan mengenai masa depan tenaga di rantau ini.Ujarnya, MELP kini semakin dikenali sebagai platform kolaborasi yang bukan sahaja memperkukuh kesedaran di peringkat nasional, malah membuka ruang kerjasama tenaga di peringkat ASEAN.Dalam masa sama, beliau menegaskan pendidikan tenaga yang bersifat interaktif mampu membina generasi muda yang celik tenaga, memahami kepentingan tenaga bersih serta berdaya tahan terhadap cabaran masa depan.Selain sesi perbincangan, program berkenaan turut menampilkan reruai yang mempamerkan kepelbagaian tradisi Malaysia termasuk sesi mencuba pakaian tradisional, demonstrasi batik dan dastar, permainan tradisional yang mengimbau nostalgia serta hidangan manisan tradisional di sudut Taste of Malaysia.MELP merupakan kerjasama nasional yang menyatukan agensi kerajaan, syarikat utiliti dan pengeluar tenaga bebas bagi memupuk kesedaran tenaga secara menyeluruh.