NASIB berbeza menimpa barisan pemain badminton negara pada pusingan pertama Terbuka Denmark Super 750 2025 di Jyske Arena, Odense apabila ada yang melangkah bergaya, manakala sebahagian lagi terpaksa akur tersingkir awal.Dalam acara perseorangan lelaki, Leong Jun Hao gagal melakar kejutan selepas tunduk kepada pilihan keempat kejohanan dari China, Li Shi Feng, 13-21, 16-21 dalam pertarungan selama 45 minit.Kekalahan itu menyaksikan Shi Feng terus unggul dalam rekod pertemuan mereka dengan kelebihan 8–1, apabila keampuhan pukulan dan tempo tinggi pemain China itu sukar dibaca Jun Hao walaupun pemain negara itu beraksi penuh semangat.Sinar kejayaan bagaimanapun datang daripada beregu wanita muda negara, Ong Xin Yee – Carmen Ting, yang tampil cemerlang apabila menundukkan wakil Ukraine, Polina Buhrova – Yevheniia Kantemyr, 21-11, 21-16 hanya dalam masa 30 minit.Kemenangan pantas itu turut mengekalkan rekod sempurna mereka ke atas pasangan Ukraine tersebut kepada 2–0, selepas turut mencatat kemenangan di Indonesia Masters 2024.Namun langkah satu lagi pasangan wanita negara, Go Pei Kee – Teoh Mei Xing, terhenti apabila mereka gagal menyaingi ketangkasan gandingan Korea Selatan, Jeong Na Eun – Lee Yeon Woo, yang menang mudah 21-5, 21-16 dalam masa 42 minit.Kekalahan itu juga memberi kelebihan pertama kepada pasangan Korea dalam rekod pertemuan mereka.Dalam acara beregu campuran, pasangan negara Wong Tien Ci – Lim Chiew Sin tidak berputus asa namun tetap terpaksa akur kepada kehebatan gandingan India, Dhruv Kapila – Tanisha Crasto, apabila tumpas 7-21, 14-21 dalam tempoh 28 minit.Beregu India yang menghuni ranking ke-16 dunia itu sekali gus mendahului rekod pertemuan 1–0 ke atas wakil negara tersebut.