LEGENDA Manchester United, Peter Schmeichel menyifatkan kelab lamanya itu melakukan kesilapan besar apabila melepaskan Scott McTominay dan Rasmus Hojlund dua pemain yang kini menyerlah di Serie A bersama Napoli.Menurut bekas penjaga gol Denmark itu, prestasi luar biasa McTominay musim lalu dan kebangkitan Hojlund musim ini membuktikan United tersilap menilai potensi sebenar mereka."McTominay menunjukkan apa yang United buang dengan mudah. Hojlund akan buktikan perkara sama tidak lama lagi," kata Schmeichel.McTominay berpindah ke Napoli setahun lebih awal sebelum rakan sepasukannya itu dan tampil cemerlang dengan 13 gol serta enam bantuan jaringan dalam musim pertama, sekali gus membantu kelab Itali itu menjulang kejuaraan Serie A.Prestasi konsisten itu turut melayakkannya menerima anugerah Pemain Terbaik Serie A dan pencalonan Ballon d’Or sesuatu yang tidak pernah dibayangkan ketika dia bersama United.Hojlund pula, yang menyertai Napoli secara pinjaman musim panas lalu, sudah meledak empat gol dalam enam penampilan jumlah sama yang diraihnya sepanjang musim lalu di Liga Perdana Inggeris.Schmeichel yang pernah memenangi lima kejuaraan liga bersama United menganggap dasar pengambilan pemain kelab itu kini tidak lagi berasaskan keputusan seorang pengendali, sebaliknya terlalu banyak pihak terlibat sehingga mengelirukan hala tuju kelab."Sekarang ada ketua jurulatih, pengarah sukan, pengarah teknikal, ketua pengambilan pemain terlalu ramai membuat keputusan tentang siapa masuk dan keluar," katanya.Beliau turut mempersoalkan keputusan membawa masuk penyerang Benjamin Sesko sedangkan Hojlund, menurutnya, hanya memerlukan bantuan di bahagian tengah untuk menyerlah."Kita lepaskan Hojlund kerana kononnya dia kurang menjaringkan gol, tapi pada masa sama kita belanja lebih £70 juta (RM 396 juta) untuk Sesko."Jika kita ada pemain seperti Matheus Cunha dan Bryan Mbuemo untuk membekalkan hantaran, Hojlund pasti menjadi penjaring 25 gol semusim," jelasnya."Dulu pengurus buat keputusan, sekarang terlalu banyak agenda," katanya.Schmeichel turut menegur kesilapan struktur kelab apabila terlalu bergantung kepada individu yang mempunyai kepentingan tersendiri."Ketua pengambilan pemain datang dari Leipzig, kebetulan kelab lama Sesko. Jadi dia mahu buat tanda kehadiran dengan membawa masuk pemain yang dikenali.Dulu Sir Alex Ferguson tentukan ‘dia masuk, dia keluar’. Sekarang ada terlalu banyak agenda berbeza," katanya lagi.Beliau juga menegaskan kelemahan posisi penjaga gol dan ketiadaan pemain nombor enam berkualiti sebagai punca utama kemerosotan prestasi United."Musim ini saja sembilan gol berpunca daripada kesilapan penjaga gol. Dulu kami diminta ‘menjimatkan 10 mata semusim’. Sekarang, mata pula diberi percuma," sindirnya.Schmeichel turut menganggap McTominay dan Hojlund masih mewakili semangat sebenar Manchester United yang semakin pudar dalam skuad semasa."Kedua-duanya mencintai kelab. Hojlund menulis tentang cita-citanya bermain untuk United sejak umur 10 tahun, dan dia tidak pernah berhenti berlari atau mengeluh di padang," katanya.Beliau turut mengaitkan nasib McTominay dengan pemain serba boleh lain seperti Phil Neville yang sering disisihkan kerana terlalu versatil."McTominay jadi mangsa kerana boleh bermain di banyak posisi. Jurulatih sekarang suka pemain yang ‘kemas’, bukan yang boleh disesuaikan dengan sistem.Tapi pemain seperti inilah yang sering menjadi tulang belakang pasukan," tambahnya.Bagi Schmeichel, kedua-dua bekas pemain United itu bukan sekadar simbol kebangkitan di Napoli, tetapi juga cerminan kepada masalah struktur dan identiti yang kian hilang di Old Trafford.