PONTIAN – Tiga premis urut dan refleksologi di daerah ini digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam Ops Gegar Pontian, pada Selasa lalu selepas disyaki menggajikan warga asing tanpa dokumen sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial.Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi hasil risikan berterusan dan maklumat awam itu membawa kepada penahanan 15 warga asing serta dua warga tempatan yang dipercayai menjadi penjaga dan pengurus premis.Menurut beliau, warga asing yang ditahan terdiri daripada dua lelaki Myanmar, seorang wanita Indonesia, tiga wanita Laos, tiga wanita Myanmar dan enam wanita Thailand berusia antara 21 hingga 56 tahun."Kesemua disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, dan masuk tanpa permit sah, manakala dua warga tempatan disiasat kerana melindungi PATI."Semua tahanan dihantar ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut, manakala enam borang saman saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Mohd Rusdi menegaskan, serbuan berkenaan membuktikan Imigresen Johor serius membanteras penyalahgunaan pas lawatan dan kegiatan tidak bermoral."JIM Johor tidak akan berkompromi terhadap majikan dan pemilik premis yang melanggar undang-undang serta akan terus memburu PATI," ujarnya.