JOHOR BAHRU – Tindakan sepasang tunang tidur sebilik di rumah keluarga wanita itu tanpa halangan daripada ibu sendiri mengundang padah apabila kediaman mereka diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), pada Rabu.Dalam operasi kira-kira jam 2 pagi itu, sepasukan anggota JAINJ menyerbu sebuah unit pangsapuri di daerah ini selepas menerima aduan awam mengenai kegiatan tidak bermoral di lokasi berkenaan.Menurut JAINJ, setibanya di lokasi, pintu grill rumah tersebut didapati tidak berkunci sebelum dibuka kira-kira empat minit kemudian oleh seorang wanita berusia lingkungan 40-an.Katanya, pemeriksaan lanjut menemui beberapa kanak-kanak berada di ruang tamu, manakala sebuah bilik yang berkunci dibuka lima minit kemudian oleh seorang wanita berusia 20-an yang berpakaian santai."Di dalam bilik itu turut ditemui seorang lelaki berusia 30-an sedang duduk di atas katil. Hasil soal siasat mendapati pasangan terbabit merupakan tunang sejak dua tahun lalu namun belum merancang tarikh pernikahan."Lelaki berkenaan berstatus duda anak satu dan bekerja di seberang Tambak Johor manakala wanita tersebut bekerja di Johor Bahru. Mereka dikatakan berkenalan ketika bekerja di sebuah pasar raya," katanya dalam kenyataan.Lebih mengejutkan, ibu wanita berkenaan mengakui mengetahui anak dan tunangnya tidur sebilik, namun tidak menegur kerana bimbang anak terasa hati."Kalau tegur, anak merajuk," katanya ringkas ketika ditanya penguat kuasa.Difahamkan, lelaki berkenaan menyewa rumah lain tidak jauh dari lokasi serbuan dan hanya datang pada hari-hari tertentu.Pasangan terbabit ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat.Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.