JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan dua lelaki warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah berhampiran pesisir pantai Forest City, Iskandar Puteri, awal pagi Selasa. Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 4.30 pagi hasil maklumat risikan serta tindakan pantas pasukan Bot Perkasa 43."Pasukan operasi yang dibahagikan kepada laut dan darat mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan sebelum ia bertindak melarikan diri."Susulan tindakan pantas anggota, dua lelaki warga Indonesia berjaya ditahan di tepi pantai Forest City," katanya dalam kenyataan pada KhamisBeliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui dua bungkusan plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 1,993 gram bernilai RM66,000, serta 499 unit bungkusan plastik berisi cecair disyaki dadah jenis ‘mushroom vape’ bernilai kira-kira RM99,000."Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM165,000."Kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an ditahan untuk siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.Kama Azri berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan operasi di kawasan sempadan perairan negara bagi membanteras sebarang bentuk aktiviti penyeludupan serta jenayah maritim.