Kursi Pengajian Melayu KPT perlu jadi duta akademik di luar negara

PUTRAJAYA : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu penyandang Kursi Pengajian Melayu KPT di universiti luar negara berfungsi sepenuhnya sebagai duta akademik untuk memperkenalkan bahasa Melayu dan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa. Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyatakan terma kursi tersebut akan disemak semula bagi memastikan pengajian Melayu dan budaya Malaysia dilaksanakan secara proaktif kepada pelajar yang berminat. “Saya ingin pastikan kursi ini benar-benar berfungsi dengan pengajaran bahasa Melayu dan pengajian Malaysia dapat diperkenalkan kepada pelajar antarabangsa,” katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu 2025. Zambry mengarahkan semakan semula kedudukan semua Kursi Pengajian Melayu KPT di universiti luar negara bagi memastikan keberadaannya mencapai matlamat negara. “Mereka berperanan sebagai duta yang memperkenalkan Malaysia melalui bahasa, budaya dan pengajian Melayu di peringkat global.” Tiga Kursi Akademik Luar Negara KPT yang aktif kini ialah Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University, China; Kursi Tun Abdul Razak di Ohio University, Amerika Syarikat; dan Kursi Pengajian Malaysia di Victoria University of Wellington, New Zealand. Zambry menekankan usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu disemarakkan di peringkat global melalui peranan strategik kursi pengajian tersebut. Beliau menegaskan penyandang kursi berperanan sebagai penghubung antara Malaysia dan masyarakat antarabangsa melalui pengajaran bahasa dan budaya negara. Setiap penyandang kursi perlu membuka kelas pengajaran bahasa Melayu dan memperkenalkan program pengajian Malaysia di universiti masing-masing. Pada majlis anugerah tersebut, Zambry menyampaikan Anugerah Terbaik Akademik Bahasa Melayu, Anugerah Harapan Akademik Bahasa Melayu dan Anugerah Sektor Teknikal Bahasa Melayu. Pemenang Anugerah Terbaik Akademik Bahasa Melayu Prof Madya Dr Norliza Jamaluddin menganggap anugerah itu sebagai pengiktirafan terbesar KPT selepas lebih 20 tahun berkhidmat sebagai tenaga pengajar. Pensyarah Kanan UPSI itu berkata anugerah ini merupakan usaha KPT memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa penyampai ilmu. Pemenang Anugerah Sektor Teknikal Bahasa Melayu Nor Mahani Md Rasidi menyifatkan kemenangannya membuktikan cabaran menggunakan bahasa Melayu dalam kelas kejuruteraan berbaloi. Pensyarah Utama Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin itu berbesar hati memperkasakan bahasa Melayu melalui penterjemahan istilah kejuruteraan. – Bernama