JOHOR BAHRU : Kerajaan Negeri Johor terbuka untuk menampung perbelanjaan kursus jangka pendek di universiti terkemuka luar negara bagi meningkatkan kemahiran pengamal media di negeri itu. Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata usaha itu selaras dengan agenda pembangunan bakat meliputi pelbagai aspek yang menjadi tumpuan kerajaan negeri. Beliau berkata ia juga seiring dengan komitmen yang diberikan oleh universiti terkemuka seperti Universiti Oxford, Universiti Harvard dan Universiti Stanford dalam membantu pembangunan bakat menerusi kerjasama strategik dengan kerajaan negeri. Onn Hafiz menyatakan pintu kerajaan negeri sentiasa terbuka dan akan menyokong penampungan kos kursus pendek untuk pengamal media. Beliau menekankan agenda pembangunan bakat kerajaan negeri sangat jelas dan mahu pengamal media menjadi sebahagian daripada agenda ini. Menteri Besar berucap demikian ketika merasmikan Anugerah Media Johor 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. Turut hadir Presiden Kelab Media Johor dan Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia Mohamad Fauzi Ishak. Onn Hafiz berkata pelaksanaan inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor Singapura adalah antara faktor Johor terus menjadi tumpuan. Inisiatif tersebut membuka peluang kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk universiti terkemuka. Anugerah Media Johor 2025 menghimpunkan lebih 300 pengamal media, wakil agensi kerajaan, dan rakan strategik Kelab Media Johor. Acara ini bertujuan memperkukuh hubungan erat antara kerajaan negeri dan komuniti media di Johor. Anugerah yang mempertandingkan 24 kategori itu diadakan bagi mengiktiraf peranan pengamal media. Ia bertujuan menghargai sumbangan media dalam menyampaikan maklumat tepat dan membantu membina imej positif negeri. – Bernama