Dua beradik, rakan ditahan bersama 49.38kg ganja

BALIK PULAU - Dua beradik dan seorang rakan mereka yang merupakan sindiket pengedaran dadah di negeri ini ditahan dalam serbuan di dua lokasi berbeza pada jam 9 malam, 10 Oktober lalu.Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan dua lelaki di dalam sebuah kereta Proton Wira dan merampas 49.38 kilogram ganja bernilai RM153,078.Menurutnya, dua lelaki berusia 33 dan 43 tahun itu ditahan di Persiaran Pantai Jerejak, Bayan Baru."Ketika ditahan, mereka dipercayai sedang berurus niaga dengan pelanggan tetap mereka. Berlaku sedikit pergelutan dan ada usaha melarikan diri ketika tangkapan dibuat."Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini pada Khamis.Tambah Sazalee, susulan daripada tangkapan itu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 48 tahun di Bandar Perdana di Sungai Petani, Kedah pada hari sama."Suspek kedua berusia 43 tahun merupakan adik kepada suspek yang ditahan di Sungai Petani."Suspek pertama bekerja sebagai 'runner' insurans, suspek kedua tidak bekerja manakala abangnya bekerja sebagai nelayan," katanya.Menurutnya, kesemua suspek aktif sejak dua tahun lalu dengan mensasarkan pelanggan dari negeri ini dan seluruh negeri di bahagian utara."Kita mengesyaki mereka mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran dengan menyeludup melalui jalan darat."Modus operandi mereka adalah menggunakan orang tengah untuk mengedar dadah kepada pelanggan. Jumlah dadah yang dirampas mampu digunakan oleh 98,760 jika terlepas ke pasaran," ujarnya.Sazalee berkata, polis sedang mengesan saki baki sindiket tersebut yang dipercayai masih aktif menjalankan kegiatan mengedar dadah."Ketiga-tiga suspek merupakan 'mastermind' sindiket ini namun kita masih giat mengesan saki baki ahli sindiket."Ujian saringan air kencing mendapati, suspek ketiga positif dadah manakala dua lagi negatif. Kesemua suspek mempunyai rekod lampau melibatkan dadah dan jenayah," katanya.Menurut beliau, polis turut menyita dua buah kereta iaitu Proton Exora dan Nissan Sentra yang bernilai RM23,500."Suspek direman tujuh hari hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.