Fasilitator kem motivasi 'freelance' ditahan cabul empat murid lelaki

BALIK PULAU - Seorang fasilitator ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes cabul empat murid lelaki Tahun Enam ketika mengikuti kem motivasi di sebuah kem di Kampung Genting, di sini pada tengah malam, 12 Oktober lalu.Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Sungai Petani pada jam 9 malam Rabu.Menurutnya, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu ditahan selepas guru besar sekolah mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Bagan Serai, Perak pada hari sama."Kesemua mangsa merupakan murid sekolah kebangsaan dari daerah Kerian, Perak. Mereka datang ke kem di sini untuk mengikuti kem motivasi."Suspek dipercayai mencabul kesemua mangsa ketika mereka sedang tidur di dorm kem terbabit," katanya di Ibupejabat Polis Daerah Barat Daya di sini pada Khamis.Sazalee berkata, susulan kejadian itu, mangsa telah mengadu kepada guru besar sekolah sebelum memberitahu kepada ibu bapa mangsa."Setelah berbincang bersama ibu bapa mangsa, guru besar mengambil keputusan untuk membuat laporan polis."Suspek berjaya ditahan dan direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 21 Oktober untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.Beliau berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau."Suspek ini menjalankan perniagaan dan sering dijemput sebagai fasilitator jemputan bagi sesebuah kem motivasi."Dia bekerja sebagai fasilitator secara 'freelance'," ujarnya.