Pelajar maut ditikam: Suspek mempunyai masalah pembelajaran

KLANG - Remaja yang menikam seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Selasa dipercayai mempunyai masalah pembelajaran.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, dakwaan bahawa pihak sekolah mengetahui suspek mempunyai masalah mental adalah tidak benar.‎"Suspek ada menjalani proses kaunseling pemulihan untuk memperbaiki dari segi kaedah pembelajaran dan bukan melibatkan masalah personaliti atau kesihatan mental."Jadi tersebarnya dakwaan menyatakan pihak sekolah tidak mengambil tindakan awal berkaitan keadaan mental suspek sama sekali tidak tepat," katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Walkabout Bersama Usahawan Little India Sempena Deepavali di Jalan Tengku Kelana, di sini pada Khamis.Sementara itu, ketika ditanya berkaitan status keadaan mental suspek, Shazeli berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada pakar yang sepatutnya."Saya berpendapat tidak adil untuk saya memberi komen tentang keadaan mental tersebut kerana pihak polis bukan pakar psikiatri."Dalam soal ini, kita perlu merujuk kepada pakar yang sepatutnya, dari ‎segi fizikal, keadaan semasa nampak okay, itu saja saya boleh katakan," katanya.Sinar Harian pada Selasa melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, Selasa seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut dipercayai ditikam oleh seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.