SHAH ALAM – SD Guthrie Berhad (Guthrie) mengumumkan 948 penempatan kerja menerusi program perintegrasian semula banduan di ladang sawitnya seluruh negara.Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, ia bukanlah sekadar program yang menyediakan pekerjaan tetapi peluang untuk peserta membina semula kehidupan."Bukan sahaja memulihkan harapan dan maruah mereka, malah dapat menyumbang kepada kehidupan masyarakat yang lebih selamat serta inklusif."Kami bangga menjadi sebahagian daripada inisiatif yang memberi peluang kedua dalam hidup, yang mana saya percaya merupakan hak asasi setiap insan," katanya.Menurut Mohamad Helmy lagi, sejarah masa lalu bukanlah ukuran nilai seseorang individu tetapi jauh lebih penting adalah sumbangan yang boleh mereka berikan untuk membina masa depan lebih bermakna."Guthrie berbangga membantu para peserta program ini untuk menyumbang secara positif kepada masyarakat," ujarnya dalam satu kenyataan media.Inisiatif tersebut merupakan yang terbesar pernah dilaksanakan oleh sebuah syarikat perladangan di Malaysia sejak Jabatan Penjara Malaysia (JPM) memperkenalkan program Latihan Pintar Korporat atau Corporate Smart Internship (CSI) pada tahun 2016.Program CSI membantu banduan yang dibebaskan awal untuk berintegrasi semula ke dalam masyarakat menerusi latihan sambil bekerja dan penempatan kerja dengan kerjasama sektor swasta.Kerjasama Guthrie dengan JPM sejak tahun 2019 itu menyokong perintegrasian semula dua kumpulan individu ke dalam masyarakat iaitu banduan yang dikategorikan sebagai ‘Orang Diparol’ (ODP) dan ‘Orang Bebas Berlesen’ (OBB).Guthrie turut menyasarkan untuk mengambil lebih 450 individu daripada setiap kategori berkenaan bagi mengisi kekosongan jawatan sedia ada dalam syarikat.Pada tahun 2025, seramai 131 orang telah menyertai tenaga kerja Guthrie di bawah program itu, sekali gus menjadikan jumlah peserta terkini ialah seramai 152 orang.Sejak tahun 2019, Guthrie berjaya merekrut seramai 761 peserta, yang mana 15 orang daripadanya telah diserap masuk menjadi pekerja tetap dalam operasi huluan syarikat tersebut.Peserta program berkenaan ditempatkan di 10 estet Guthrie di Perak, Kedah, Selangor, Pahang, Terengganu, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Sarawak.Selain penempatan kerja untuk tempoh yang panjang, Guthrie turut menawarkan program latihan sambil kerja, bimbingan dan penyeliaan berstruktur kepada para peserta.Tidak hanya memperoleh pengalaman pekerjaan sebenar, peserta program juga menerima faedah yang setaraf dengan pekerja lain di Guthrie.Ia termasuk gaji minimum seperti yang ditetapkan oleh Perintah Gaji Minimum Kebangsaan 2022 dan faedah lain di bawah Persatuan Pengeluar Pertanian Malaya (MAPA)/ Perjanjian Perundingan Kolektif 2019 Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW).Antaranya perumahan percuma, bekalan air, subsidi elektrik, waktu kerja dan gaji lebih masa yang ditetapkan di bawah Akta Pekerjaan.Dengan pengalaman kerja sebenar dan faedah pekerjaan yang diterima, ia dijangka akan membantu mengurangkan lagi ulang laku jenayah dalam kalangan bekas banduan.Guthrie merupakan salah satu daripada sebilangan kecil syarikat perladangan di Malaysia yang melaksanakan program tersebut dalam skala yang besar.Ia sekali gus mengukuhkan kepimpinan syarikat berkenaan dalam amalan pekerjaan yang bertanggungjawab dan usaha-usaha rehabilitasi nasional.Selain itu, Guthrie menggalakkan syarikat lain untuk turut serta melibatkan diri dalam inisiatif sama demi membantu membina masyarakat yang lebih inklusif dan positif kepada usaha pemulihan.