Amah rebah ketika keluar kamar mahkamah

JOHOR BAHRU - Seorang pembantu rumah warga Indonesia tiba-tiba rebah ketika hendak dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini setelah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberikan rasuah kepada pihak penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Mac lalu.Kejadian itu menyebabkan Mariana Umar, 50, terpaksa dibawa keluar dari kamar mahkamah dengan menggunakan kerusi roda.Sebelum itu, Mariana membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.Mengikut kertas pertuduhan, Mariana didakwa memberikan suapan wang tunai bernilai RM600 kepada seorang Penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), sebagai balasan agar tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap dirinya yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah daripada PBT.Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 3(1), Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBIP) 2018, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), yang boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah premis di Taman Universiti, Skudai pada jam 12.30 tengahari 10 Mac lalu.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga satu perempat daripada maksimum hukuman penjara bagi kesalahan asal, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhd Faizul Kamaro Zaman.Muhd Faizul dalam hujahnya memohon jaminan sebanyak RM5,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi yang mewakili tertuduh meminta agar nilai wang jaminan dikurangkan berikutan tertuduh hanya berpendapatan RM1,000 sebulan dan sudah berpisah dengan suaminya selain menanggung anak saudaranya di Indonesia.Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM5,000 terhadap Mariana dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan 20November depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.