JOHOR BAHRU - Seorang lelaki didenda RM5,000 setelah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada Khamis atas pertuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat berwarna merah dalam salun di sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini, Sabtu lalu.Tertuduh, Ahmad Abu Bakar, 26, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret, A Shaarmini setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas pada jam 11.50 pagi, Sabtu lalu dengan cara membaling plastik berisi cat berwarna merah ke dalam salun berkenaan.Kejadian tersebut telah menyebabkan simbahan cat merah mengenai perabot serta seorang pelanggan yang berada di dalam salun berkenaan.Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat.Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum dengan penjara kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.Perbicaraan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Nur Fatihah Mohd Nizam sementara tertuduh tidak diwakili peguam.Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman denda RM5,000 dan 12 bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan kepada tertuduh.