1,111 anggota, pegawai JSPT ditugaskan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

KUALA LUMPUR – Seramai 1,111 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan ditugaskan bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di ibu negara dari 26 hingga 28 Oktober ini.Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penugasan melibatkan 91 pegawai kanan polis dan 1,020 pegawai rendah polis yang akan menjalankan tugas kawalan lalu lintas, pengiringan kenamaan serta penguatkuasaan undang-undang jalan raya sepanjang tempoh persidangan."Penugasan JSPT bermula pada 17 hingga 29 Oktober bagi memastikan setiap pergerakan delegasi dan laluan utama berada dalam keadaan terkawal serta selamat."Raptai pergerakan motoked akan dijalankan bermula 17 hingga 24 Oktober melibatkan laluan dari Kompleks Bunga Raya KLIA dan TUDM Subang ke hotel penginapan sekitar Kuala Lumpur, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dan Seri Negara," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, pada Khamis.Mohd Yusri berkata, Malaysia akan menerima kehadiran delegasi negara ASEAN pada 26 Oktober, penutupan berkala serta lencongan jalan akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan enam lebuh raya utama dan 25 jalan di sekitar Kuala Lumpur."Antara laluan terlibat termasuk Lebuh KLIA, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Lebuhraya Guthrie, Lebuhraya Utara - Selatan, Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya KL- Seremban."Selain itu beberapa jalan utama di pusat bandar seperti Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Parlimen dan Jalan Kuching," katanya.Mohd Yusri menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan lebih awal, mengelak daripada melalui laluan terlibat serta mematuhi arahan anggota trafik di lokasi sepanjang tempoh tersebut."Orang ramai juga digalakkan menggunakan pengangkutan awam seperti LRT, MRT, Monorel dan bas bagi mengurangkan kesesakan di kawasan pusat bandar," katanya.