Polis teruskan siasatan kes lelaki didakwa mangsa sindiket kerja di Thailand

BALIK PULAU – Polis masih menjalankan siasatan susulan maklumat baharu yang diterima berhubung kes seorang lelaki yang didakwa menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di Thailand hingga ibunya terpaksa membayar wang tebusan bagi membebaskannya bulan lalu.Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, beberapa maklumat terkini telah diperoleh namun pihaknya tidak dapat mendedahkan secara terperinci kerana siasatan masih diteruskan."Proses siasatan sedang dijalankan dan kami telah menerima beberapa maklumat baharu berkaitan kes ini. Usaha mengesan lelaki yang dilaporkan hilang juga masih diteruskan."Berdasarkan semakan dengan rekod Jabatan Imigresen, tiada rekod perjalanan keluar negara direkodkan sejak tahun 2019, jadi kami percaya dia masih berada dalam negara," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Daerah Barat Daya di sini pada Khamis.Sazalee menambah, pihaknya juga sedang mengesan individu yang memiliki akaun e-wallet antarabangsa digunakan untuk menerima wang daripada ibu mangsa bagi tujuan pembayaran tebusan yang dituntut sindiket berkenaan.Kes disiasat di bawah Seksyen 347 dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan.Terdahulu, siasatan mendapati lelaki berusia 25 tahun itu tidak pernah meninggalkan Malaysia sejak pulang dari China pada 21 Oktober 2019, selepas kali terakhir ke negara itu pada 13 Oktober tahun sama.Polis turut menyiasat kes berkenaan dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.Sazalee berkata, kertas siasatan dibuka selepas ibu lelaki tersebut tampil membuat laporan polis kerana khuatir akan keselamatan anaknya.Sebelum ini, media melaporkan mangsa yang dikenali sebagai Lai dan bekerja sebagai kontraktor ubah suai dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di Thailand.Dia dikatakan dikawal ketat oleh kumpulan berkenaan sejak pertengahan September lalu.Ibunya, Rose, 52, kemudiannya dilaporkan mula dihubungi kumpulan sindiket itu pada 16 September lalu dan menerima ugutan meminta wang tebusan dengan ancaman bahawa tangan anaknya akan dipotong sekiranya enggan membayar.Rose berkata, dia hanya sempat mendengar suara anaknya sebentar ketika panggilan dibuat, dipercayai di bawah pengawasan sindiket tersebut.Susulan ugutan itu, dia membuat dua bayaran iaitu yang pertama sebanyak AS$5,000 (RM23,500) dan kedua AS$8,000 (RM37,600), sebelum kumpulan itu menuntut tambahan AS$2,000 (RM9,400) lagi.