Dua lelaki ditahan curi kabel loji air

KLUANG – Dua lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes kecurian kabel di kawasan Loji Air Ladang Unijaya, Sri Lalang di sini, pada Rabu.Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada seorang lelaki tempatan kira-kira jam 4.30 petang."Susulan laporan itu, sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Sri Lalang telah menjalankan rondaan sebelum berjaya menahan dua suspek berusia lingkungan 24 hingga 31 tahun di lokasi kejadian pada jam 8.52 malam hari sama."Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sebuah motosikal, satu unit pemotong besi dan segulung kabel," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Bahrin berkata, semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah, namun hasil saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.Tambahnya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes kecurian kabel yang dilaporkan."Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek direman empat hari bermula 16 Oktober bagi membantu siasatan," jelasnya.