KUALA NERUS – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersedia menghadapi sebarang kemungkinan gangguan bekalan hasil pertanian sekiranya berlaku bencana banjir pada musim tengkujuh tahun ini.Pengerusinya, Aminuddin Zulkipli berkata, berdasarkan trend banjir sebelum ini, kejadian itu lazimnya tidak berlaku secara menyeluruh sebaliknya hanya melibatkan kawasan tertentu sama ada di pantai timur atau pantai barat.Menurutnya, keadaan itu membolehkan pengurusan bekalan makanan dilaksanakan dengan lebih baik kerana masih ada kawasan pengeluar yang boleh menampung keperluan pasaran."Berdasarkan trend sebelum ini, kalau berlaku bencana banjir di Pantai Timur, bekalan dari Pantai Barat masih boleh digerakkan."Begitu juga sebaliknya. Jadi dari sudut logistik dan tenaga, FAMA sentiasa bersedia bekerjasama dengan agensi kecemasan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sekiranya berlaku situasi luar jangka," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Karnival Jualan Agro Madani @ Terengganu 2025, di sini, pada Khamis.Aminuddin berkata, FAMA turut mengenal pasti lebih awal kawasan yang berisiko banjir bagi memastikan langkah kesiapsiagaan dapat diambil termasuk penyediaan kawasan alternatif sekiranya berlaku bencana."Kita sudah ada pelan kecemasan termasuk lokasi alternatif bagi kawasan yang kerap dilanda banjir seperti di Terengganu."Pengalaman sebelum ini banyak membantu kita membuat persediaan lebih awal dan kali ini pelan persediaan untuk hadapi banjir telah ada," katanya.Menurut beliau, walaupun sukar untuk memberikan jaminan tiada gangguan bekalan, FAMA berusaha memastikan keperluan asas pengguna mencukupi sepanjang musim banjir."Memandangkan bencana ada kalangan berlaku di luar jangka, kita akan cuba sedaya upaya untuk memastikan bekalan makanan sampai kepada rakyat dan akan berusaha untuk memastikan ia mencukupi," katanya.Tambahnya, kebanyakan bekalan sayur-sayuran ketika ini diperoleh dari Cameron Highlands, dan sekiranya berlaku malapetaka besar, FAMA akan segera menggerakkan sumber dari kawasan lain."Jika keadaan benar-benar darurat, kita akan cari jalan bagi memastikan bekalan tidak terputus dan akan berada di lapangan sehingga ke peringkat membawa masuk bekalan jika perlu," jelasnya.Pada masa sama, beliau turut menasihatkan para usahawan tani dan pengusaha agar lebih berwaspada dengan sebarang amaran cuaca serta berhubung rapat dengan agensi berkaitan untuk mendapatkan maklumat terkini."Pemegang taruh perlu lebih proaktif dan bersedia lebih awal. Sediakan keperluan penting di satu tempat agar tidak membuang masa ketika kecemasan," katanya.