Cuti pegawai, anggota polis Selangor dibekukan sempena Deepavali, ASEAN

KLANG – Semua cuti pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor dibekukan sempena sambutan perayaan Deepavali bagi memastikan elemen keselamatan berjalan lancar dan terkawal.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pembekuan cuti itu turut mengambil kira pelaksanaan operasi khas sempena perayaan serta persiapan menghadapi Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung selepas Deepavali."Mulai Jumaat ini hingga 31 Oktober, semua cuti pegawai dan anggota PDRM Selangor dibekukan."Kita mahu pastikan kehadiran anggota mencukupi di lapangan untuk operasi Deepavali dan persediaan ASEAN Summit," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Walkabout Bersama Usahawan Little India Sempena Deepavali di Jalan Tengku Kelana, di sini pada Khamis.Menurutnya, hampir keseluruhan kekuatan lebih 15,000 pegawai dan anggota PDRM Selangor akan digerakkan sepanjang tempoh tersebut bagi memastikan keselamatan awam terjamin."Kita tidak mahu berlaku sebarang kekurangan anggota di lapangan."Jadi semua kekuatan akan dikerah sepenuhnya untuk memantau keadaan semasa dan melaksanakan rondaan keselamatan," katanya.Shazeli menegaskan, PDRM komited memastikan kadar jenayah di Selangor kekal terkawal bukan sahaja semasa musim perayaan, tetapi juga sepanjang tahun."Dalam soal melibatkan pencegahan jenayah ini, ia bukan sekadar dalam musim perayaan sahaja tapi sepanjang masa."Selain itu rondaan dan pemantauan tetap dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan semasa," katanya.