KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melakukan pemantauan berkala terhadap penjualan petrol RON95 bersubsidi RM1.99 seliter di kawasan pedalaman bagi mengelak ketirisan dan penyalahgunaan oleh warga asing terutama di kawasan berhampiran sempadan negeri.Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, langkah itu turut melibatkan kawasan penempatan Orang Asli di pusat jualan komuniti (POS) Pos Broke dan Kuala Betis yang disenaraikan di bawah program penyeragaman harga barangan kawalan meliputi Program Budi Madani RON95 (BUDI95)."Harga petrol ditetapkan pada RM1.99 seliter dan hanya boleh dibeli oleh penduduk tempatan yang memiliki kad pengenalan sah."Kami juga arahkan peniaga yang dilantik mencatat jualan secara manual bagi mengelak pembelian oleh pihak tidak berhak, termasuk warga asing yang menetap berhampiran Lojing dan Cameron Highlands," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran program Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Deepavali di sebuah pasar raya Kubang Kerian di sini pada Khamis.Turut hadir, Pengurus Kawasan Mydin, Rosliza Mat Nawi.Azman berkata, penjualan petrol di kawasan pedalaman itu dihadkan antara 100 hingga 200 liter sehari bagi setiap pengusaha kedai kerana penggunaan setempat agak kecil dan kebanyakannya untuk motosikal atau bot enjin sangkut bersaiz kecil."Kami juga meminta laporan berkala daripada pekedai dan penduduk tempatan sekiranya ada pelanggaran peraturan atau aktiviti penyelewengan supaya tindakan segera boleh diambil," jelasnya.Dalam perkembangan lain, setakat ini lebih 200 kenderaan daripada 155 syarikat di Kelantan mendaftar bagi mendapatkan manfaat di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) di bawah KPDN yang dikhususkan untuk syarikat berdaftar menggunakan petrol bagi operasi logistik, e-hailing atau teksi."KPDN membuka kaunter pendaftaran di pejabat KPDN negeri dan cawangan-cawangan daerah bagi membantu urusan ini."Kita juga sedang merancang jelajah kesedaran ke pasar raya dan lokasi tumpuan awam bagi memudahkan syarikat membuat pendaftaran dan semakan status kelayakan subsidi," katanya.