GOMBAK - Sepasang suami isteri antara lima individu diberkas manakala 225 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan ketamin bernilai lebih RM14 juta dirampas dalam serbuan di Lembah Klang, pada Isnin dan Selasa.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket yang dilaporkan aktif sejak setahun lalu itu menyeludup dadah dari Kelantan ke Lembah Klang."Sindiket ini menggunakan pelbagai cara menyeludup dadah dari Pantai Timur ke Lembah Klang sama ada melalui laluan utama di pintu sempadan dan laluan tikus."Berdasarkan maklumat dan risikan yang dibuat tentang sindiket ini, pihak JSJN Bukit Aman melancarkan tiga siri serbuan pada Isnin dan Selasa lalu dan menahan lima individu berusia antara 29 hingga 38 tahun," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, pada Khamis.Hussein berkata, dalam serbuan pertama yang dibuat di sebuah rumah teres di Batu Caves, pihak polis menahan satu pasangan suami isteri dan menemui 197 bungkusan plastik berisi dadah ketamin seberat 200kg dan dadah syabu (methamphetamine) seberat 125kg."Susulan serbuan pertama itu, pihak JSJN kemudian menjalankan serbuan kedua di kawasan parkir sebuah kondominium di Wangsa Maju dan menahan seorang lelaki yang juga suspek ketiga namun tidak menemui apa-apa barang salah," katanya.Hussein berkata, susulan itu pihaknya menahan dua lagi lelaki iaitu suspek keempat dan kelima di satu unit kediaman di sebuah kondominium di Wangsa Maju namun tidak menemui sebarang dadah."Hasil siasatan mendapati, suspek pertama berperanan sebagai penyimpan stok bekalan dadah di rumahnya manakala suspek kedua adalah isterinya."Suspek keempat yang ditahan di unit kondominium didapati berperanan sebagai koordinator manakala suspek ketiga dan kelima adalah sebagai rakan sekutunya," katanya.Beliau berkata, polis percaya sindiket ini sering memantau pergerakan pihak berkuasa dalam ketika menyeludup dadah ke Lembah Klang bagi mengelak dikesan pihak berkuasa selain sangat licik hingga sukar dikesa"Modus operandi sindiket ini adalah menyeludup dadah dan menjadikan unit kediaman di kawasan Lembah Klang sebagai stor penyimpanan sebelum diedarkan kepada sindiket pengedaran dadah lain untuk pasaran tempatan khususnya Kuala Lumpur dan Selangor," katanya.Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 Oktober ini mengikut Seksyen 39 B, Akta Dadah Berbahaya 1952."Selain dadah, pihak polis turut melakukan sitaan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988, membabitkan enam unit kenderaan dan pelbagai jenis barangan kemas bernilai RM300,000," katanya.Hussein berkata, sebarang maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah boleh disalurkan melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222.