Anak sulung Pengasas Sapura Holding bantah bapa batal hibah 14.85 juta unit saham

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Anak sulung Pengasas Sapura Holdings Sdn Bhd akan membantah permohonan bapanya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis, yang mahu membatalkan hibah mencecah 14.85 juta pegangan saham syarikat, yang diberikan kepadanya hampir 30 tahun lalu.Peguam syarie, Dr Mohd Rafie Mohd Shafie yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sapura Group, Tan Sri Shahril Shamsuddin selaku defendan pertama berkata, pihaknya mengesahkan telah menerima saman dan tuntutan terpinda mengenai permohonan terbabit, daripada peguam yang mewakili Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir pada Isnin lalu.Menurutnya, mengambil kira permohonan Shamsuddin, 94, baru sahaja diterima tiga hari lalu, maka defendan meminta mahkamah menetapkan tarikh lain untuk prosiding seterusnya."Tempoh masa terlalu singkat, jadi anak guam akan memfailkan notis untuk membatalkan permohonan terbabit."Alasannya ialah, pegangan saham itu bukan merupakan hibah selain isu yang dibangkitkan berlaku pada tahun 1997," katanya ketika sebutan kes di hadapan Pendaftar, Niana Nazahar.Sementara itu, peguam syarie, Suhaimi Saad yang mewakili plaintif berkata, notis saman dan tuntutan terpinda telah diserahkan kepada defendan pertama dan kedua masing-masing pada Isnin dan 3 Oktober.Beliau berkata, Shamsuddin telah menyerahkan pegangan saham kepada dua anaknya, Shahril, 64, dan anak keduanya, Pengarah Eksekutif dan Pemegang Saham Sapura Holdings, Datuk Shahriman, 56, masing-masing sebanyak 14.85 juta pada 7 November 1997."Bagaimanapun, plaintif mahu membatalkan hibah terbabit terhadap Shahril sahaja, atas alasan peribadi," katanya yang hadir bersama peguam syarie, Datuk Shamsuriah Sulaiman.Sementara itu, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hasan yang mewakili Shahriman selaku defendan kedua tidak membantah permohonan pengesahan hibah oleh plaintif."Ini kerana, hibah merupakan hak plaintif maka beliau berhak untuk memberi mahupun membatalkan pemberian hadiah itu," katanya.Ketika ditemui di luar mahkamah beliau berkata, plaintif mempunyai hak untuk mengesahkan hibah tersebut kerana pemberian telah dibuat semasa masih hidup.Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, mahkamah menetapkan 18 November depan untuk pengurusan kes terbabit.Pada tarikh itu, mahkamah akan mendengar keizinan pembatalan saman dan penyata tuntutan oleh defendan pertama termasuk permohonan penzahiran dokumen oleh plaintif, sebelum mendengar permohonan penarikan dan pembatalan hibah berkenaan.