KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihatkan agar tidak menularkan gambar dan video kes tikam di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya yang mengorbankan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun pada Selasa lalu.Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, tindakan menularkan gambar mangsa, suspek atau barangan kes boleh memberi kesan buruk kepada keluarga terlibat selain melanggar peruntukan undang-undang."Saya menasihatikan netizen seperti kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di mana semua pihak jangan tularkan gambar-gambar mangsa dan suspek kerana ia merupakan kesalahan mengikut Akta Kanak-kanak 2001."Akta tersebut menyatakan dengan jelas bahawa tidak boleh sesiapa mendedahkan gambar yang melibatkan kanak-kanak iaitu mereka berumur 18 tahun ke bawah," katanya.Beliau ditemui selepas hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang pelajar berkenaan di Nirvana Center Kuala Lumpur di sini pada Khamis.Nie Ching berkata, penyebaran gambar sedemikian bukan sahaja menjejaskan emosi masyarakat, malah boleh menambah penderitaan kepada keluarga mangsa."Saya rasa gambar di mana mangsa berada di tempat insiden, apabila kawan-kawan mereka nampak akan menimbulkan rasa sangat sedih."Tindakan kita mungkin menyakiti ibu bapa dan ahli keluarga mangsa lebih banyak. Informasi yang kita tak pasti, tolong jangan kongsi," katanya.Mengulas lanjut mengenai penggunaan media sosial yang dilihat menjadi faktor pengaruh kepada kes buli dan jenayah dalam kalangan remaja, Nie Ching berkata, kerajaan sedang berbincang dengan penyedia platform media sosial bagi memperketat kawalan penggunaan."Seperti yang disebut oleh Menteri Komunikasi kami sekarang tengah berbincang dengan platform provider kerana memang mereka ada garis panduan masing-masing. Banyak yang cakap bahawa kalau umur bawah 13 tahun tidak boleh menggunakan media sosial."Tetapi jika tiada sistem untuk memeriksa dan hanya bergantung kepada pengisytiharan diri, saya minta maaf untuk mengatakan bahawa ia tidak akan berkesan," katanya.Beliau berkata, tanggungjawab membendung penyebaran maklumat palsu serta kandungan tidak sesuai bukan hanya terletak kepada ibu bapa, tetapi juga penyedia platform media sosial."Saya terima aduan daripada pakcik mangsa yang memaklumkan ada individu mendakwa dirinya ayah kepada suspek, tetapi bukan."Saya tak boleh turunkan hantaran tersebut, perlu minta MCMC maklumkan kepada syarikat media sosial untuk menurunkan hantaran itu," katanya.