KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelan bantuan kemanusiaan dari Malaysia ke Palestin mesti dikoordinasi dengan teliti dan berkesan agar setiap bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.Beliau memaklumkan perkara itu semasa pertemuan dengan rangkaian masyarakat sivil Malaysia yang menggerakkan Ops Ihsan dan Sumud Flotilla di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada Khamis."Susulan perkembangan terkini di Palestin, saya bersama rangkaian masyarakat sivil Malaysia yang menggerakkan Ops Ihsan dan Sumud Flotilla telah bertemu hari ini bagi menyelaras tindakan segera menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin," katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.Anwar berkata dengan kebijaksanaan, kecekapan dan semangat solidariti yang ditunjukkan, usaha itu akan membantu meringankan penderitaan rakyat Gaza sekali gus menjadi lambang keprihatinan serta kemanusiaan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.