PENDANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah premis memproses kicap, sos cili dan cuka buatan bernilai kira-kira RM1.13 juta selepas dikesan menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tanpa kebenaran.Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti memproses dan mengedar pelbagai produk kicap, sos cili dan cuka buatan ke seluruh negara khususnya di zon utara.Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan penggunaan logo halal Jakim pada produk keluaran premis tersebut dipercayai digunakan tanpa kebenaran pihak berkaitan."Sebanyak 139,049 botol kicap, 39,767 botol sos cili dan 7,872 botol cuka buatan pelbagai jenis serta saiz disita dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM1.13 juta," katanya.Menurutnya, kes disiasat bawah Perintah 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, yang memperuntukkan hukuman tegas terhadap pelaku."Jika sabit kesalahan, syarikat boleh dikenakan denda maksimum RM200,000 dan sehingga RM500,000 bagi kesalahan berulang, manakala individu boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.Jelas beliau, serbuan bersepadu terbabit dijalankan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekitar jam 11 pagi Rabu melibatkan 10 anggota penguat kuasa KPDN Alor Setar serta empat pegawai KKM.