KKM tunggu laporan penuh dua kematian akibat Influenza A

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) masih menunggu hasil laporan penuh berhubung kematian dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia empat dan 11 tahun yang disahkan dijangkiti Influenza A.Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya kini sedang menjalankan proses semakan sistematik bagi mengenal pasti punca sebenar kematian kedua-dua mangsa."Ada dua kes kematian yang terkait dengan influenza dikesan mengalami Influenza A. Namun apa yang dikatakan positif faktor atau sebab kematian itu perlu dikenal pasti melalui mortality review (penilaian mortaliti)."Ia akan tertakluk kepada satu penelitian menyeluruh untuk memastikan apakah sebab kematian sebenar akibat Influenza A. Kedua-dua (kanak-kanak) memang positif Influenza A tetapi kita masih dalam proses kajian dan penelitian punca sebenar kematian," katanya ketika menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH–Pulai) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada Khamis.Dr Dzulkefly berkata, kedua-dua kes melibatkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun dari Samarahan, Sarawak dan seorang lagi berusia 11 tahun dari Dungun, Terengganu.Sementara itu menjawab soalan asal Suhaizan mengenai tahap keseriusan kes influenza di seluruh negara serta kesan terhadap institusi pendidikan, Dr Dzulkefly memaklumkan bahawa setakat ini sekolah dan tadika mencatatkan jumlah kes jangkitan influenza yang tertinggi.Beliau berkata, berdasarkan jumlah kumulatif sejak Minggu Epidemologi (ME) 1/2025 hingga ME 41/2025, premis sekolah merekodkan sebanyak 352 kes atau 65.8 peratus diikuti tadika dengan 96 kes (17.9 peratus) manakala institusi/kolej mencatatkan 35 kes (6.5 peratus).Jelasnya, premis rumah persendirian pula mencatatkan 33 kes (6.2 peratus) diikuti pusat jagaan dengan enam kes (1.1 peratus), kluster di tempat kerja pula sebanyak10 kes (1.9 peratus) manakala penjara merekodkan tiga kes (0.6 peratus)."Secara keseluruhan, bilangan kluster jangkitan di institusi pendidikan meningkat daripada lapan kluster pada ME 39 kepada 111 pada ME 40, sebelum mencecah angka 202 pada ME 41 manakala pada ME 42 iaitu dari 12 hingga 18 Okt ini, bilangan kluster adalah 56 dan dijangka menunjukkan trend penurunan."Sekolah menengah mencatatkan bilangan kluster tertinggi, meningkat daripada satu pada ME 39 kepada 47 pada ME 40, dan mencapai 65 pada ME 41, sementara sekolah rendah menunjukkan pola sama dengan kluster meningkat daripada tiga pada ME 39 kepada 26 pada ME 40, dan mencecah 72 pada ME 41."Institusi lain seperti kolej vokasional, sekolah swasta dan taska turut mencatatkan peningkatan kluster dalam tempoh yang sama," jawabnya.