KOTA KINABALU - Saksi ke-24 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa dia adalah individu pertama yang melihat seorang pelajar perempuan terbaring tidak sedarkan diri di kawasan longkang aras bawah blok asrama pada 16 Julai lalu.Saksi yang juga merupakan kanak-kanak ke-15 memberitahu perkara itu dalam prosiding inkues yang memasuki hari ke-24 di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.Peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata, saksi merupakan pelajar senior yang tinggal di aras dua blok asrama sama dengan Zara Qairina, namun dia tidak mengenali secara peribadi dan tidak pernah bercakap dengan pelajar Tingkatan Satu itu.Menurutnya, saksi memaklumkan memang sudah menjadi rutin hariannya untuk bangun awal pada jam 3 pagi untuk urusan dobi menggunakan mesin basuh, menggosok pakaian dan menadah air untuk mandi."Saksi memberitahu sekitar jam 3 pagi hari kejadian, dia telah menuruni tangga untuk menggunakan mesin basuh. Biasanya saksi akan mandi, kemaskan diri dan bersiap awal untuk ke surau."Saksi berkata, seingat dia ketika tidur ada mendengar bunyi seperti benda jatuh sebelum dia bangun jam 3 pagi, tetapi dia tidak berapa pasti kerana masih dalam keadaan kurang sedar."Selepas saksi bangun, saksi ada mengejutkan seorang rakan dorm yang ingin bangun awal bersama saksi untuk menggosok pakaian."Saksi berkata ketika dia berada di tangga aras bawah, dia pertama nampak seorang pelajar perempuan terbaring dekat dengan longkang."Saksi berkata, biasanya dia memakai cermin mata tetapi pada pagi kejadian, dia tidak memakainya dan tidak dapat melihat jelas pelajar yang dia jumpai," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, pada Khamis.Mengulas lanjut, dalam keterangan saksi memaklumkan bahawa dia tidak kenal pelajar yang ditemuinya terbaring berhampiran longkang tersebut."Keadaan pelajar tersebut seperti pengsan. Saksi memanggil pelajar tersebut, 'bangun, bangun' kerana dia tidak mengecam Zara pada ketika itu."Selepas itu, saksi berkata dia terus ke pondok pengawal yang terletak di blok asrama sebelah untuk memanggil pengawal keselamatan dikenali sebagai ’Aunty Linah’."Ketika Aunty Linah datang bersama saksi ke tempat kejadian, dia terkejut dengan apa yang terjadi. Dia terus mengecam dan memberitahu saksi bahawa pelajar yang terbaring itu adalah Zara," katanya.Menurut Mohd Syarulnizam, saksi memaklumkan bahawa dia diminta oleh pengawal keselamatan itu untuk mengambil telefonnya di pondok pengawal supaya dia dapat mengambil gambar dan mendapatkan untuk pertolongan cemas."Saksi berkata keadaan Zara pada ketika itu 'macam susah bernafas. Pada ketika itu saksi berkata dia tidak perasan jika ada keadaan luka atau darah ataupun tidak kepada Zara."Saksi berkata Aunty Linah bertindak mengejutkan seorang pelajar senior iaitu dan memanggil Ketua Warden."Saksi juga ada melihat ada beberapa pelajar-pelajar senior yang sudah sedar dan nampak keadaan Zara dari aras dua blok tersebut."Tidak lama kemudian, saksi beberapa pelajar senior tersebut bergerak turun ke tempat Zara jatuh untuk berjumpa Ketua Warden yang juga sudah ada di tempat kejadian. Saksi berkata Ketua Warden mengarah mereka untuk memindahkan Zara ke depan bilik Warden."Saksi mengatakan bahawa dia ada membantu mengangkat Zara untuk tidak sampai tiga minit. Selepas itu dia tidak ikut mengangkat Zara kerana ramai pelajar membantu mengangkat Zara," katanya.Menurut Mohd Syarulnizam lagi, saksi memberitahu mahkamah bahawa selepas Zara Qairina dipindahkan ke depan bilik Warden, ada pelajar naik untuk kemaskan diri manakala dia kekal bersama pengawal keselamatan, Ketua Warden, dan seorang lagi ustaz menunggu sehingga ambulans sampai."Saksi berkata selepas Zara dipindahkan, baru saksi melihat ramai pelajar yang keluar dari aras masing-masing bertanyakan tentang kejadian tersebut. Saksi berkata dia tidak ada mendengar cerita pelajar-pelajar lain jika mereka ada dengar bunyi Zara jatuh atau tidak."Saksi berkata dia ada diarah oleh Ketua Warden untuk mencuci tempat darah di kawasan kedua iaitu tempat Zara dipindahkan depan bilik Warden. Dia tidak mencuci darah di kawasan pertama, tempat mula-mula pelajar itu ditemui," katanya.Mohd Syarulnizam bersama rakan sepasukannya iaitu Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili Ibu kepada Zara Qairina, Noraidah Lamat, yang hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.