Enam lebuh raya, 25 jalan utama dilencongkan untuk Sidang Kemuncak ASEAN

KUALA LUMPUR : Sebanyak enam lebuh raya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan dilencongkan secara berperingkat bermula 26 Oktober sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menyenaraikan lebuh raya terlibat termasuk ELITE, NKVE, GUTHRIE, Utara–Selatan, MEX dan KL–Seremban. Jalan lain yang turut dilencongkan ialah Lebuh Lapangan Terbang KLIA, Lingkaran Putrajaya serta beberapa jalan utama pusat bandar seperti Jalan Istana, Jalan Damansara dan Jalan Tun Abdul Razak. Seramai 1,111 pegawai dan anggota trafik akan ditugaskan dari 17 hingga 29 Oktober bagi memastikan pergerakan delegasi dan orang kenamaan berjalan lancar. Penugasan JSPT meliputi kawalan lalu lintas, pengiringan kenderaan VIP serta penguatkuasaan undang-undang jalan raya sepanjang tempoh persidangan. Raptai pergerakan motosikal pengiring akan dijalankan dari 17 hingga 24 Oktober melibatkan laluan dari KLIA dan Pangkalan Udara Subang. Laluan raptai merangkumi perjalanan ke hotel-hotel sekitar Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Seri Negara. Orang awam dinasihatkan mengelak laluan terlibat dengan lencongan dan menggunakan pengangkutan awam seperti MRT, LRT, monorel atau bas. Petugas media, kesihatan dan mereka yang bertugas rasmi dibenarkan melalui jalan dilencongkan dengan menunjukkan pas rasmi. Kebenaran melalui jalan dilencongkan boleh ditarik balik sekiranya kedatangan orang kenamaan terlalu hampir. Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober sebagai kemuncak Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025. Tema sidang kemuncak tahun ini ialah “Keterangkuman dan Kemampanan” selaras dengan kepimpinan Malaysia. Antara pemimpin dunia yang dijangka hadir termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri China Li Qiang. Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa juga antara tetamu kehormat yang dijangka menghadiri sidang kemuncak tersebut. – Bernama