'Suspek lompat dari atas tandas sebelum tikam mangsa' - Ibu

KUALA LUMPUR – "Anak saya menjerit meminta tolong, tetapi pintu tandas terkunci. Bila cikgu pecahkan pintu, anak saya sudah tiada."Demikian luahan pilu Wong Lee Ping, ibu kepada seorang pelajar perempuan yang maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama baru-baru ini.Menurut Lee Ping, beliau dimaklumkan suspek dipercayai telah melompat dari bahagian atas tandas sebelum menikam mangsa yang ketika itu berada di dalam bilik tandas yang berkunci dari dalam."Hasil siasatan polis memaklumkan suspek melompat dari bahagian atas tandas sebelum menikam mangsa yang berada di dalam tandas berkunci."Anak saya menjerit meminta tolong, tetapi pintu tandas terkunci. Bila cikgu pecahkan pintu, anak saya sudah tiada," katanya dalam nada sebak ketika sidang akhbar di Nirvana Center Kuala Lumpur di sini pada Khamis.Lee Ping berkata, pihaknya juga menafikan dakwaan anaknya mengenali suspek dan memohon orang ramai untuk tidak menularkan berita yang belum disahkan sahih di media sosial."Anak saya telah menjadi mangsa dan saya harap orang ramai hentikan berkongsi berita yang tidak benar di media sosial, anak saya tidak pernah berjumpa dan berhubung dengan suspek," katanya.Dalam masa sama beliau turut berharap kes yang menimpa anaknya tidak akan berulang di mana-mana sekolah pada masa hadapan.Beliau juga menyeru mana-mana individu yang bersimpati dengan kejadian tersebuat dan ingin menderma agar berbuat demikian dengan hadir ke Nirvana Center berikutan terdapat individu tidak bertanggungjawab mengubah suai kod QR di poster jemputan penghormatan terakhir yang diedarkan.Terdahulu media melaporkan, pelajar lelaki berusia 14 tahun yang menikam pelajar perempuan berusia 16 tahun sehingga mati di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, di sini, pada Selasa.Pada Rabu, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, tikaman pada dada dan leher dikenal pasti menjadi punca kematian pelajar perempuan terbabit.Keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat dijalankan PPUM yang selesai pada jam 10.30 malam.