Kes influenza di IPT masih terkawal menurut Kementerian Pendidikan Tinggi

SHAH ALAM : Kes jangkitan influenza yang membabitkan penuntut institut pengajian tinggi di seluruh negara masih berada dalam keadaan terkawal menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud. Beliau mengesahkan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi telah menerima laporan mengenai beberapa kes pelajar yang dijangkiti wabak berkenaan. “Langkah kawalan dan rawatan telah dilaksanakan dengan segera bagi menangani situasi tersebut,“ jelas Mustapha. Beliau menekankan bahawa semua kes yang dilaporkan masih terkawal dan tidak membabitkan sebarang kes serius setakat ini. “Kementerian Pendidikan Tinggi tidak akan mengambil mudah terhadap perkara ini dan akan sentiasa memantau perkembangan penularan wabak,“ tambahnya. Pihak kementerian sentiasa berhubung rapat dengan Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai penularan wabak influenza. Data daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan sebanyak 35 kes telah direkodkan di institusi pengajian tinggi berdasarkan jumlah kumulatif Minggu Epidemologi 1/2025 hingga 41/2025. Bilangan kluster jangkitan di IPT menunjukkan peningkatan daripada lapan kluster pada ME 39 kepada 111 kluster pada ME 40. Angka tersebut kemudiannya mencecah 202 kluster pada ME 41 sebelum menunjukkan penurunan ketara. Trend terkini menjangkakan penurunan berterusan dengan hanya 56 kluster direkodkan pada ME 42 yang bermula 12 Oktober. Mustapha telah merasmikan majlis penutup Festival Bahasa IPT 2025 di Anjung Seri Budiman, UiTM Shah Alam sempena Dekat Bahasa Kebangsaan Peringkat IPT 2025. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin. – Bernama