JKM keluarkan kad OKU anak Zarina setelah dokumen diserah

SHAH ALAM - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesahkan kad Orang Kelainan Upaya (OKU) anak klien, Nur Zarina Mohd Zainuddin telah diproses dan dikeluarkan jabatan itu pada Khamis.JKM dalam satu kenyataan berkata, ia hasil daripada tindakan susulan dan khidmat nasihat yang diberikan pihaknya dan klien telah menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada JKM pada Rabu.Menurutnya, jabatan tersebut mendapati tiada maklumat pengesahan pegawai perubatan direkodkan dalam Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) bagi anak-anak pelakon wanita itu."Hasil semakan mendapati tiada maklumat pengesahan pegawai perubatan direkodkan dalam Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) bagi anak klien tersebut."Petugas telah memberikan penerangan lanjut, menyerahkan Borang BPPOKU (Pindaan 2019) untuk diisi dan menandakan bahagian berkaitan bagi memudahkan rujukan klien."Klien turut disarankan untuk membuat laporan polis sebagai langkah pencegahan terhadap sebarang kemungkinan penyalahgunaan kad," katanya pada Khamis.Sebelum ini, Nur Zarina meluahkan kekecewaannya di Instagram dengan mendakwa 'ditendang' ke sana sini seperti bola sewaktu menggantikan kad anaknya, Azal Azrai yang hilang.Katanya, beliau telah membuat laporan di JKM mengenai hal itu, namun diminta untuk membuat laporan polis atas alasan tiada rekod dalam sistem jabatan tersebut.Menurut kenyataan tersebut, klien juga menyerahkan satu lagi kad OKU milik anak kembarnya bagi tujuan penggantian kad rosak."Hasil semakan menunjukkan situasi yang sama iaitu tiada pengesahan perubatan dalam sistem dan maklumat tersebut belum pernah dikemas kini."Klien telah dimaklumkan bahawa penggantian kad baharu (kad QR) hanya boleh dilaksanakan setelah laporan perubatan atau makluman pengesahan terkini dikemukakan."Ini adalah kerana, sistem SMOKU yang diperkenalkan pada tahun 2011 telah melalui beberapa fasa menaik taraf dengan penambahan subkategori OKU serta pengenalan kad OKU baharu berteknologi QR," katanya.Jelasnya, oleh itu, klien telah disarankan untuk melakukan pengesahan semula oleh pegawai perubatan bagi membolehkan pengemaskinian data dibuat dalam sistem serta membuat laporan polis sebagai langkah keselamatan dan perlindungan data peribadi.Sementara itu, JKM sentiasa komited untuk memastikan setiap urusan berkaitan pendaftaran, pengemaskinian dan penggantian kad OKU dilaksanakan secara tertib, telus dan berpandukan prosedur operasi standard (SOP)."JKM menyarankan agar klien sentiasa mengemas kini maklumat peribadi dan laporan perubatan bagi memastikan data dalam sistem SMOKU kekal tepat dan terkini," katanya.