Inkues Zara Qairina: Kes kecurian di asrama kerap berlaku - Saksi

KOTA KINABALU - Saksi ke-24 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa kejadian kecurian di asrama sekolah berkenaan bukanlah perkara baharu, sebaliknya sering berlaku sepanjang tempoh dia bersekolah di situ.Menurut keterangan yang dibacakan oleh peguam mewakili keluarga Allahyarhamah, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, saksi yang juga merupakan kanak-kanak ke-15 berkata, pelajar biasanya akan melaporkan kejadian itu kepada warden atau guru bertugas untuk tindakan lanjut."Saksi berkata sepanjang bersekolah di situ dia tahu kejadian kes kecurian asrama kerap berlaku. Biasanya pelajar diminta untuk laporkan kepada warden atau guru-guru untuk tindakan lanjut."Saksi berkata ada kebiasaan warden membuat ‘spot check’ berdasarkan laporan yang dibuat oleh pelajar-pelajar atau MPP (Majlis Perwakilan Pelajar)."Biasanya spot check adalah mengenai telefon dibawa ke asrama. Peraturan menetapkan pelajar tidak dibenarkan bawa telefon bimbit ke asrama," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, pada Khamis.Bagaimanapun, menurut Mohd Syarulnizam, saksi memaklumkan bahawa dia tidak pernah mendengar sebarang kes kecurian berlaku di aras tiga blok asrama lokasi tempat Zara Qairina dilaporkan dipanggil oleh pelajar senior sebelum kejadian tragis itu.Mohd Syarulnizam berkata, saksi turut memaklumkan pada malam 15 Julai lalu, dia tidak mengetahui mengenai Zara Qairina dipanggil oleh pelajar senior di aras tiga."Saksi berkata dia pernah melihat kejadian pelajar-pelajar junior dimarah oleh pelajar senior. Tetapi saksi berkata dia tidak ambil tahu sangat perkara sebegitu dan dia sendiri tidak pernah memarahi pelajar junior tetapi cuma ada memberi nasihat," katanya.Tambah beliau, saksi turut mengenali kumpulan pelajar yang dikenali sebagai Circle 19, namun bukan sebahagian daripada kumpulan itu."Saksi memaklumkan bahawa dia tahu mengenai 'Circle 19' sebagai kumpulan pelajar-pelajar rapat namun dia bukan ahli kumpulan tersebut dan hanya mengenali mereka sebagai rakan biasa dan satu batch," katanya.Menurut peguam itu lagi, saksi turut menjelaskan selepas kejadian, dia mula mendengar cerita daripada pelajar lain bahawa Zara Qairina seorang yang ceria dan mempunyai buku diari peribadi."Saksi berkata dia ingat Ketua Warden membawanya ke Balai Polis pada 17 Julai lalu bersama pelajar lain dan isteri Ketua Warden. Saksi berkata pada ketika itu dia tidak tahu sama ada ibu bapanya tahu mengenai dia dibawa ke balai polis."Menurut ingatan saksi, selepas dari balai polis ada pegawai polis serahkan buku diari Zara kepada Ketua Warden untuk diberikan kepada ibu Zara. Saksi tidak ingat buku apa yang diberikan," katanya.Mohd Syarulnizam bersama rakan sepasukannya Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili ibu kepada Allahyarham, Noraidah Lamat, yang hadir sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding tersebut.Allahyarham Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.