Penolong pegawai perubatan maut kereta terbabas masuk longkang

SUNGAI SIPUT - Seorang penolong pegawai perubatan maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam sebuah longkang di Jalan Lintang berhampiran Klinik Kesihatan Lintang di sini pada Khamis.Mangsa, Zulkhairi Hussin, 52, yang bertugas di Klinik Kesihatan Kuala Kangsar disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Charan Ai Wan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.03 petang daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput.Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 2.40 petang ketika mangsa memandu kereta jenis Perodua Myvi dari pekan Sungai Siput menuju ke Klinik Kesihatan Lintang."Apabila tiba di lokasi kejadian yang berbukit dan berselekoh, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang."Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Charan berkata, hasil laporan awal mendapati punca kematian disebabkan pendarahan serius di bahagian kepala serta patah tulang tengkorak akibat kemalangan jalan raya.Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan siasatan lanjut masih diteruskan.Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput, Mohd Azhar Zam Hashari berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 2.57 petang.Katanya, setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah berada dalam keadaan terbalik di dalam longkang."Anggota bomba mengangkat mayat mangsa menggunakan spinner board dan tali penyelamat sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.Menurutnya, operasi yang disertai lapan anggota itu tamat pada jam 3.53 petang.