Tular video pelajar bergaduh di sekolah

KUALA LANGAT – Tiada pelajar dilaporkan cedera atau mendapatkan rawatan di hospital susulan kejadian pergaduhan membabitkan beberapa pelajar di sebuah sekolah di Telok Panglima Garang, dekat sini, yang tular di media sosial pada Khamis.Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video tular mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.30 pagi sebelum tindakan segera diambil."Siasatan awal mendapati pergaduhan tersebut berlaku di kawasan sekolah berkenaan dan anggota dari Balai Polis Telok Panglima Garang segera ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan."Pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat turut hadir ke sekolah kira-kira jam 10 pagi bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Katanya, hasil siasatan mendapati tiada pelajar yang mengalami kecederaan, manakala semua pihak terlibat telah dipanggil bagi menyelesaikan perkara tersebut secara baik."Satu perbincangan tiga hala melibatkan pihak sekolah, ibu bapa atau waris pelajar dan PDRM telah diadakan."Semua pihak bersetuju untuk tidak mengambil tindakan lanjut serta menyelesaikan isu ini secara berhemah dan damai," katanya.Menurutnya, orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan berita palsu atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat."Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu di bawah undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.Terdahulu, tular insiden pergaduhan membabitkan beberapa pelajar yang dipercayai berlaku di kawasan sebuah sekolah.