Desak menteri letak jawatan setiap kali tragedi di sekolah tidak adil - PKR Pasir Gudang

JOHOR BAHRU - Tindakan menuding jari dan mendesak menteri meletakkan jawatan setiap kali berlaku kes jenayah seksual, buli serta keganasan di sekolah dianggap tidak adil, sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada pembaikan sistem secara menyeluruh.Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, menteri dan kerajaan memang mempunyai tanggungjawab moral untuk menjamin keselamatan pelajar, namun peletakan jawatan tidak seharusnya dijadikan jalan keluar utama kecuali jika terbukti berlaku kecuaian secara langsung."Apa yang lebih penting ialah tindakan segera dan pelan pembetulan, bukan sekadar mencari salah siapa."Dalam isu keselamatan pelajar, yang diperlukan bukan pengunduran seseorang, tetapi pembaikan sistem secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Menurut beliau, isu jenayah seksual, buli dan keganasan di sekolah bukan perkara baharu, tetapi kini lebih banyak didedahkan berikutan kewujudan media sosial dan telefon pintar dalam kalangan pelajar.Katanya, punca sebenar kejadian tersebut lebih mendalam, termasuk kelemahan sistem disiplin dan penguatkuasaan, pengaruh bahan lucah, kekurangan bimbingan moral, pegawai kaunseling terlatih serta ketiadaan sistem pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) yang mencukupi.Dalam pada itu, Murad turut mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Keselamatan Pelajar melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menilai semula tahap keselamatan sekolah di seluruh negara.Antara langkah segera yang perlu diambil termasuk menjalankan audit keselamatan menyeluruh di semua sekolah, menambah unit kaunseling, memperketat prosedur operasi standard (SOP) penggunaan telefon bimbit serta memasang CCTV di kawasan berisiko."Menteri tidak patut terus dipersalahkan tanpa bukti kecuaian, tetapi beliau mesti menunjukkan kepimpinan tegas dan tindakan pantas."Rakyat tidak mahu alasan, mereka mahu melihat tindakan nyata untuk mencegah tragedi seterusnya," tegasnya.