Influenza: Kadar konsultasi meningkat, kluster sekolah paling tinggi

SHAH ALAM - Peningkatan ketara kes jangkitan influenza direkodkan di seluruh negara dengan majoriti kluster dikesan melibatkan institusi pendidikan termasuk sekolah dan tadika.Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, pemantauan melalui sistem Survelan Influenza-Like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infections (SARI) mendapati kadar konsultasi meningkat daripada 7.38 peratus pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-40 kepada 9.22 peratus pada ME-41 (5 hingga 11 Oktober 2025).Walaupun kadar tersebut masih rendah berbanding kemuncak tahun 2024, KKM menjelaskan jumlah kluster meningkat mendadak di sekolah iaitu daripada lapan kluster pada ME-39 kepada 202 kluster pada ME-41.Daripada keseluruhan 535 kluster dilaporkan sejak awal tahun, sekolah mencatat 65.8 peratus atau 352 kluster, diikuti tadika (96), institusi pengajian (35), rumah persendirian (33), tempat kerja (10), pusat jagaan (6) dan penjara atau Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (3)."Penurunan kepada 56 kluster pada minggu semasa (ME-42) direkodkan, namun aktiviti penularan masih berterusan."Ibu bapa diingatkan supaya tidak menghantar anak yang bergejala ke sekolah dan diminta segera mendapatkan rawatan jika gejala bertambah teruk."Guru digesa memperkukuh pendidikan kesihatan serta menggalakkan pemakaian pelitup muka dan kebersihan tangan," menurut kenyataan kementerian itu pada Khamis.KKM turut menasihatkan pihak sekolah membuat pelaporan awal kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) agar tindakan pencegahan segera dapat diambil, termasuk penutupan sementara premis selepas penilaian risiko dibuat.Dalam masa sama, KKM akan terus memantau perkembangan jangkitan influenza di dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta pihak berkuasa kesihatan serantau."Langkah-langkah pencegahan dan kawalan akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan penularan dapat ditangani dengan kadar segera dan berkesan," kata kenyataan itu.