Kejutan 'birthday' untuk Tok Wan di awan biru

SHAH ALAM -– Sambutan ulang tahun kelahiran warga emas dari Kampung Tiang Kulat, Kuala Nerus, Terengganu menjadi kenangan manis apabila diraikan istimewa di awan biru semasa menaiki kapal terbang bersama keluarganya pada Jumaat lepas.Momen penuh bermakna itu turut menarik perhatian ramai apabila video Mat Zin Abdullah berusia lebih 100 tahun dikongsikan cucunya menerusi akaun Tik Tok @Safs tular di TikTok dan mendapat pelbagai reaksi positif daripada warganet.Menurut cucunya, Mohd Safuwan Amir Mohd Saidi, 35, berkata, sambutan itu diadakan bersempena ulang tahun kelahiran datuk yang dianggap amat istimewa kerana diraikan dalam penerbangan."Tok Wan pernah menaiki kapal terbang sebelum ini ketika menunaikan umrah, tetapi kali ini lebih bermakna sebab sempena birthday dia. Ia kejutan khas daripada kami sekeluarga khususnya saya."Dia nampak senyum dan happy, memang seronok sebab pertama kali buat sambutan dalam kapal terbang. Kami pun tidak sangka video itu jadi tular," katanya kepada.Jelasnya, datuknya yang mempunyai 14 anak, lebih 200 cucu dan cicit serta lima cuit sebelum ini pernah memaklumkan hasrat untuk melawat ibu saudara di Kedah.Bagaimanapun, Mohd Safuwan Amir memaklumkan, dia ketika itu agak sibuk sebelum menempah tiket kira-kira dua bulan lepas untuk perjalanan dari Terengganu ke Kedah."Kebetulannya, saya dapati ia hampir dengan tarikh ulang tahun kelahiran Tok Wan dan kemudiannya bertanya kepada kabin kru sama ada hasrat untuk kejutan birthday itu dapat direalisasikan, dan bersyukur ia dapat direalisasikan," katanya.Menurutnya, datuk masih aktif dan sihat walaupun sudah berusia lebih 100 tahun, malah masih mampu berjalan serta suka keluar berjalan-jalan.Mohd Safuwan Amir memberitahu, mereka kemudiannya membawanya menaiki Menara Alor Setar dan melawat Rumah Kelahiran Mahathir.Mengulas lanjut mengenai usia warga emas itu, katanya, pada zaman dahulu, kelahiran datuknya lewat didaftarkan dan dipercayai kini berusia antara 101 atau 102 tahun sekiranya mengikut tarikh kelahiran sebenar.Kongsi beliau lagi, antara impian datuknya adalah bertemu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.