Meniti usia 60 tahun penubuhannya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kekal sebagai peneraju utama pemasaran hasil tani negara melalui pendekatan lebih mesra petani, usahawan dan berorientasikan data.Sejak ditubuhkan pada 30 September 1965, agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu terus menggalas tanggungjawab besar memastikan kestabilan bekalan makanan, memperkukuh ekonomi agromakanan tempatan serta mendukung matlamat kerajaan ke arah kedaulatan makanan negara.Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri, berkata penubuhan agensi itu pada era Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein merupakan langkah strategik membela nasib petani yang ketika itu berdepan manipulasi orang tengah dalam urusan jual beli hasil pertanian."Pada waktu itu, pemberi pinjaman atau orang tengah sering mengambil kesempatan terhadap petani dan nelayan. Mereka membekalkan modal serta peralatan, tetapi memaksa hasil dijual kembali kepada mereka pada harga rendah," katanya.Beliau berkata demikian pada program Interviu bertajuk Sambutan Ulang Tahun FAMA ke-60 dihoskan oleh Haizir Othman yang diadakan di ibu pejabat Sinar Harian, Shah Alam baru-baru ini.FAMA ditubuhkan bagi memastikan hasil pertanian dibeli dengan harga berpatutan dan tidak dimanipulasi pihak tertentu.Dalam konteks itu, FAMA menjadi pembeli, pemproses dan pengedar utama hasil tani iaitu satu pendekatan yang menstabilkan pasaran dan melindungi kepentingan pengeluar kecil.Pasar Tani bukti kejayaan berterusanSejak enam dekad lalu, pelbagai inisiatif diperkenalkan FAMA, termasuk penubuhan Pasar Tani pada tahun 1985 yang membolehkan pengeluar menjual terus hasil mereka tanpa melalui orang tengah.Kini terdapat lebih 239 lokasi pasar tani di seluruh negara dengan jualan melebihi RM330 juta setahun, manakala Pasar Tani Kekal yang beroperasi setiap hari telah dibuka di 37 lokasi, dengan dua lagi sedang dibangunkan."Pasar Tani Kekal memberi ruang kepada petani menjual hasil sepanjang masa, bukan sekadar pada hujung minggu. Konsep ini telah membina ekosistem pemasaran yang stabil," jelas Abdul Rashid.Baru-baru ini, sambutan Ulang Tahun ke-40 Pasar Tani diraikan pada 26 September 2025 dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan FAMA dalam memperkukuh rantaian pemasaran hasil tani.Program Agro Madani bantu kurangkan kos sara hidupMenurut Abdul Rashid, FAMA turut memperkenalkan Program Agro Madani, kesinambungan daripada program Jualan Terus Dari Ladang, bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.Dengan kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), sebanyak 12,900 program jualan dilaksanakan sepanjang 2023 hingga 2024 melebihi sasaran 10,000 yang ditetapkan kerajaan."Program ini menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran, memberi manfaat dua hala iaitu petani memperoleh keuntungan lebih baik, manakala pengguna menikmati harga berpatutan."Program ini kini diperluas ke kawasan pejabat, kilang serta tapak jualan FAMA. Selepas setahun, kami berjaya mempelbagaikan sumber bekalan dan tiada lagi isu kekurangan stok seperti sebelum ini," ujar beliau.Beliau berkata, kajian FAMA menunjukkan lebih 80 peratus peserta program terdiri daripada petani dan usahawan kecil menyatakan kepuasan terhadap hasil jualan yang meningkat.Fokus RMK-13: Data, digital dan kedaulatan makananMenurut Abdul Rashid, FAMA kini menumpukan kepada pendigitalan data dan sistem pemasaran bersepadu sebagai teras baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).Jika RMK-11 menekankan kecekapan rantaian bekalan dan RMK-12 menumpukan pendigitalan perkhidmatan, tumpuan RMK-13 ialah pengukuhan pemasaran berasaskan data bagi menjamin kedaulatan makanan negara."Kami membangunkan sistem pengumpulan data bersepadu untuk memastikan keputusan dibuat berdasarkan analisis pasaran sebenar, bukan anggaran," katanya.FAMA juga memperkukuh program Ladang Kontrak, memberi jaminan pembelian hasil kepada petani selain membuka peluang eksport menerusi platform Agrobazaar Online dan jaringan antarabangsa."Kita mahu petani bukan sekadar menjual di pasaran tempatan, tetapi mampu menembusi pasaran luar. Ini penting kerana defisit import makanan negara semakin besar dan perlu ditangani secara serius," tambah beliau.Jubli Intan FAMA: 60 tahun bersama rakyatSebagai tanda penghargaan terhadap enam dekad perkhidmatan, Sambutan Jubli Intan FAMA akan diadakan pada 24 hingga 26 Oktober ini di RTC Gopeng, Perak, dijangka dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementeria Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak.Majlis itu bakal menampilkan pameran perjalanan FAMA sejak penubuhannya, jualan khas berkonsepkan angka ‘60’ dan perkongsian kisah kejayaan usahawan tani bimbingan agensi berkenaan."Sebagai contoh, jualan Kombo Madani yang biasanya berharga RM15 akan ditawarkan pada harga RM6 secara berjadual. Kami ingin orang ramai dan pelanggan FAMA sama-sama meraikan kejayaan ini," katanya.Dalam pada itu, Abdul Rashid menyeru semua rakyat Malaysia agar terus menyokong produk tempatan demi memastikan agenda keterjaminan makanan negara dapat dicapai."Sokongan pengguna terhadap petani, nelayan dan pengeluar tempatan amat penting. Hanya dengan solidariti ini, sektor agro makanan kita dapat terus kukuh dan berdaya saing," katanya.