60 minit seminggu laksana Program Pembentukan Karakter - KPM

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan masa khusus selama 60 minit seminggu bagi pelaksanaan Program Pembentukan Karakter di sekolah rendah dan menengah di dalam Kurikulum Persekolahan 2027.Menurut KPM, program itu akan disediakan dalam jadual waktu persekolahan untuk membolehkan aktiviti pembentukan karakter dilaksanakan secara terancang dan berfokus."Di peringkat prasekolah, ia akan dilaksanakan secara bersepadu menerusi aktiviti harian pembelajaran," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Ujar KPM, program itu menekankan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang berfokuskan kepada aktiviti yang memberi tumpuan kepada penghayatan nilai, tingkah laku positif, serta penerapan adab dan akhlak dalam konteks kehidupan seharian murid."Ia adalah cerminan komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melahirkan generasi yang holistik dalam aspek akademik, sahsiah dan jati diri," jelasnya.Kementerian berkata, Program Pembentukan Karakter adalah salah satu inisiatif utama dalam Kurikulum Persekolahan 2027 bertujuan untuk membentuk individu yang bersahsiah unggul, beradab dan bertanggungjawab."Ia merupakan satu anjakan strategik bertujuan memperkukuh pembangunan sahsiah dan nilai murni dalam kalangan murid secara berstruktur dan menyeluruh," katanya.Pada Khamis, Menteri KPM Fadhlina Sidek memberitahu Dewan Rakyat bahawa subjek Pembentukan Karakter akan diperkenalkan mulai tahun depan ke arah usaha memperkukuh pembentukan sahsiah dan keperibadian murid.Katanya, pelaksanaan kurikulum baharu itu kini dalam peringkat persiapan dan akan dimulakan terlebih dahulu di peringkat prasekolah sebelum diperluas ke peringkat seterusnya.