Sidang Kemuncak ASEAN: Resilient Asia 2025 Exposition dan Forum ditangguhkan

PUTRAJAYA – Program Resilient Asia 2025 Exposition dan Forum yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ditangguhkan.Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, keputusan itu dibuat susulan arahan kerajaan berhubung penutupan penuh kawasan pusat bandar raya Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung dari 23 hingga 28 Oktober depan."Nadma berharap semua pihak yang terlibat dalam persediaan penganjuran program ini dapat mengambil tindakan sewajarnya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Beliau turut menjelaskan bahawa Nadma akan meneruskan penganjuran program pada tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak."Program ini amat signifikan dalam memperkukuh rangkaian kerjasama serta memperluas inovasi dalam sistem pengurusan bencana negara di peringkat serantau," katanya.Terdahulu, kerajaan mengumumkan penutupan penuh pusat bandar raya Kuala Lumpur sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada minggu hadapan.Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, seramai 16,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari seluruh negara terlibat bagi membantu dan melancarkan aliran trafik.Menurut beliau, PDRM juga akan berada dalam keadaan berjaga-jaga tahap tinggi dari 23 hingga 28 Oktober ini.Malaysia yang menjadi Pengerusi ASEAN dijangka menerima kehadiran pemimpin kuasa besar dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.