KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuh sistem pendidikan negara perlu dilaksanakan segera dan tidak boleh hanya berhenti pada tahap perbincangan atau slogan semata-mata.Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu berani mengambil tindakan tegas bagi memastikan isu disiplin pelajar yang semakin membimbangkan dapat ditangani secara berkesan dan berterusan.Beliau berkata, langkah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mengumumkan lima pembaharuan bagi meningkatkan keselamatan di sekolah selepas beberapa insiden serius kebelakangan ini, termasuk larangan membawa barangan terlarang ke kawasan sekolah adalah satu usaha yang baik dan wajar disokong.Namun jelasnya, KPM juga perlu meneliti dengan serius cadangan untuk mengembalikan semula hukuman fizikal di sekolah sebelum sebarang keputusan dibuat."Soalannya, adakah pemulihan hukuman fizikal benar-benar berkesan untuk mengelakkan pelajar melakukan kesalahan?" katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Menurut beliau, Peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959 membenarkan pengetua memberi kuasa kepada guru untuk menjalankan hukuman fizikal secara munasabah, namun Akta Kanak-kanak 1990 dengan jelas melarang sebarang bentuk hukuman fizikal terhadap kanak-kanak."Kedua-dua undang-undang ini mempunyai percanggahan dari segi tafsiran dan pelaksanaan. Oleh itu, hukuman fizikal mungkin boleh dianggap sebagai satu perbuatan yang menyalahi undang-undang," katanya.Beliau turut merujuk kepada kes dua guru lelaki di Pulau Pinang yang baru-baru ini didakwa di mahkamah selepas disyaki memukul pelajar dengan rotan hingga cedera di sebuah sekolah menengah di daerah Timur Laut, dua tahun lalu.Katanya, sekiranya KPM mahu mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman fizikal, kementerian perlu menyediakan garis panduan yang jelas serta perlindungan undang-undang kepada para guru."Persoalan sama ada guru patut atau tidak menggunakan hukuman fizikal ke atas pelajar kembali mencetuskan perdebatan. Seolah-olah isu ini tidak pernah mempunyai jawapan muktamad. Daripada terus berbahas tentang ‘patut atau tidak’, lebih baik kita menilai kesan baik dan buruk hukuman fizikal itu sendiri, adakah ia benar-benar berkesan?" ujarnya.Dominic berkata, hasil perbincangan dengan beberapa tokoh pendidikan berpengalaman mendapati bahawa pada masa dahulu, penggunaan rotan dianggap cara paling cepat menyelesaikan masalah pelajar."Tetapi akhirnya mereka sedar bahawa masalah disiplin tidak semestinya dapat diselesaikan. Ramai pelajar selepas dihukum tidak benar-benar menyesal atau sedar akan kesalahan mereka," jelasnya.Tambah beliau, hukuman juga mempunyai risiko tinggi kerana sedikit keterlanjuran boleh membawa kesan sebaliknya."Pelajar yang takut kepada hukuman tidak perlu dihukum pun, mereka akan berubah. Tetapi bagi mereka yang tidak mahu berubah, walaupun dihukum berkali-kali, mereka tetap tidak akan berubah malah mungkin bertambah degil," ujarnya.Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan di rumah dan di sekolah perlu saling melengkapi."Ada anak yang sangat baik di rumah, tetapi di sekolah berkelakuan sebaliknya. Ini perkara yang ibu bapa perlu ambil tahu."Ibu bapa harus kerap berhubung dengan pihak sekolah untuk memahami keadaan sebenar anak mereka, namun jangan terlalu melindungi anak tanpa menilai secara rasional masalah disiplin yang berlaku," tambahnya.