Kerjaya Kedua Perwira, sedia peluang kerja bernilai tinggi

PETALING JAYA  – Kementerian Pertahanan memperkenalkan pendekatan baharu dalam program peralihan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Pelan Transformasi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) 2026–2035, yang menumpukan kepada latihan berasaskan industri bernilai tinggi bagi melonjakkan daya kebolehpasaran mereka selepas persaraan.Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan anggota ATM yang bersara awal benar-benar dapat menyesuaikan diri dan berjaya dalam kerjaya kedua selepas meninggalkan perkhidmatan."Pendekatan baharu ini memastikan latihan yang dijalankan benar-benar menepati kehendak pasaran kerja. Latihan akan dilaksanakan di industri tempat anggota bercadang menetap selepas bersara, sekali gus memudahkan proses peralihan mereka ke alam pekerjaan," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035 di sini pada Rabu.Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaafar.Beliau berkata, setiap tahun kira-kira 5,000 anggota ATM melalui proses peralihan, majoritinya terdiri daripada mereka berpangkat biasa dengan kelulusan SPM dan kebanyakan bersara pada usia antara 41 hingga 45 tahun."Kita mahu mereka tidak hanya bergantung kepada pencen, tetapi mampu memperoleh pendapatan kedua yang stabil melalui pekerjaan selepas bersara. Ini penting untuk kesejahteraan keluarga mereka," ujarnya.Mohamed Khaled berkata, pelan transformasi itu turut menekankan konsep Work-Based Learning (WBL) dan RPEL, di mana kemahiran anggota tentera akan diiktiraf secara rasmi dengan kelayakan diploma berdasarkan pengalaman kerja mereka."Kalau sebelum ini mereka bekerja 20 tahun sebagai mekanik tanpa pengiktirafan, kini pengalaman itu boleh diterjemahkan kepada kelayakan akademik. Ia akan meningkatkan kebolehpasaran dan pendapatan mereka," katanya.Menurut beliau, kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah dimulakan bagi mengenal pasti bidang kemahiran yang boleh diberi pengiktirafan diploma kepada anggota yang memiliki pengalaman luas.Dalam pelaksanaan program itu, kerajaan turut memperkenalkan insentif kepada pihak industri bagi menggalakkan penyertaan mereka.Mohamed Khaled menyeru pihak industri supaya menyambut baik pelan berkenaan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa anggota tentera."Mereka telah berjuang mempertahankan keamanan negara. Kini tiba masanya industri membalas jasa itu dengan membuka peluang pekerjaan dan kerjaya yang bermakna," tegasnya.44 syarikat, PERHEBAT meterai kerjasamaSetakat September lalu, katanya, sebanyak 44 syarikat daripada pelbagai sektor termasuk pembuatan, penyelenggaraan (MRO), pengangkutan, telekomunikasi, teknologi hijau, marin, perkhidmatan dan agromakanan telah memeterai kerjasama dengan PERHEBAT.Beliau turut mencadangkan agar PERHEBAT memperluas kolaborasi dengan syarikat di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) serta syarikat yang mempunyai kontrak dengan Kementerian Pertahanan sebelum diperluaskan ke industri lain di seluruh negara."Kita mahu setiap anggota yang bakal bersara dapat memilih industri yang sesuai dengan kemahiran serta lokasi tempat tinggal mereka selepas persaraan," katanya.Mohamed Khaled turut menegaskan perlunya sistem padanan kemahiran, lokasi dan peluang pekerjaan dibangunkan bagi memastikan peralihan pesara tentera ke alam pekerjaan kedua lebih tersusun dan berkesan.Majlis itu turut menyaksikan penyerahan dokumen kerjasama antara PERHEBAT dan syarikat industri, selain penyerahan surat tawaran pekerjaan kepada bakal pesara ATM, menandakan permulaan rasmi pelaksanaan pelan transformasi tersebut.Sementara itu, Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Ts Amir Md Noor berkata, antara pencapaian awal ialah kerjasama dengan Weststar Aviation, yang mengambil pelatih PERHEBAT untuk dilatih dalam bidang penyelenggaraan helikopter dengan gaji permulaan antara RM4,300 hingga RM8,000, bergantung kepada sijil dan tahap kepakaran.Selain itu, katanya, 10 peserta turut dihantar ke China bagi mengikuti latihan selama setahun dalam bidang kereta api, sebelum diserap bekerja dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebaik tamat latihan.Ia adalah kerjasama dengan Malaysia Rail Link (MRL), Yayasan Pahang, UCYP University, Akademi Rel Pahang dan China Communications Construction Company (Malaysia)."Kita mahu pastikan veteran ATM bukan sekadar dilatih, tetapi terus ditempatkan dalam industri yang menawarkan pekerjaan bermaruah dan berpendapatan stabil," katanya.Beliau berkata, PERHEBAT turut bekerjasama dengan Konsortium Penternak Ayam Muslim (KPAM) dan Metro Driving Academy yang membuka peluang kepada veteran tentera menambahkan pendapatan mereka.REAKSI"Kami diajar semula kerja penyelenggaraan, pemeriksaan harian dan teknik baik pulih pesawat. Jurutera Weststar banyak membantu kami mendapatkan pengalaman dan pendedahan sebenar sebelum diserap bekerja."- PW II Juhari Mohd Ramli"Kursus ini memberi saya ilmu pengurusan stok dan operasi perniagaan stesen minyak. PERHEBAT banyak membantu kami memahami urusan pendaftaran niaga dan pengurusan perniagaan secara menyeluruh."-Arsyad Ahmad Daud "PERHEBAT tidak pernah melupakan kami. Bimbingan dan latihan daripada pengajar amat membantu saya dalam membina kerjaya untuk terus bersama menyara keluarga." - Bekas anggota 99 Rejimen Perang Siber , Ayuniza Abdullah"PERHEBAT banyak menyediakan peluang kerjaya dengan syarikat-syarikat, maka veteran perlu merebut peluang ini untuk kesejahteraan keluarga pada masa depan." -  Pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Zakaria Zahari