AMPANG - Tiada bukti fizikal atau visual yang kukuh menjadi cabaran utama operasi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi mengesahkan dakwaan kehadiran harimau di sekitar Pangsapuri Sri Baiduri, Ukay Perdana di sini sejak aduan diterima pada 8 Oktober lalu.Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pembuktian kini bergantung sepenuhnya kepada data perangkap kamera yang akan dinilai selepas tempoh pemantauan selama sebulan selesai.Menurutnya, operasi pemantauan masih diteruskan secara berkala dan kini telah masuk minggu kedua."Pemantauan tidak dijalankan setiap hari tetapi dilakukan secara berjadual mengikut keperluan dan lokasi tumpuan."Tindakan tertumpu kepada pemeriksaan perangkap kamera yang dipasang di lima lokasi strategik sekitar kawasan aduan. Pemeriksaan dilakukan sekali seminggu bagi menilai sebarang rakaman baharu hidupan liar," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.Beliau berkata, tiada kesan baharu seperti tapak kaki, najis atau cakaran yang menunjukkan kehadiran harimau ditemui setakat ini.Jelasnya, kawasan hanya menunjukkan aktiviti babi hutan dan anjing liar."Pasukan Perhilitan akan terus menjalankan pemeriksaan berkala, menilai data rakaman kamera dan mengambil tindakan lanjut sekiranya sebarang bukti kehadiran harimau dikesan," ujarnya.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Jabatan Perhilitan menerima aduan daripada penduduk pada 8 Oktober lalu yang melaporkan terdengar bunyi seperti harimau di kawasan hutan belakang pangsapuri.Berikutan itu, pasukan Perhilitan Daerah Hulu Langat bersama Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) Selangor telah digerakkan ke lokasi dengan tindakan susulan termasuk pemasangan perangkap kamera serta tinjauan udara menggunakan dron.