SEREMBAN - Peguam yang mewakili tukang masak yang dituduh menikam seorang duda hingga menyebabkan kematian dalam kejadian Ogos lalu, memohon anak guamnya dirujuk ke psikiatri.Dalam prosiding sebutan semula kes di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, Ahmad Lokman berkata, permohonan itu dibuat bagi membolehkan kesihatan mental Zulazren Zakariah, 31, dinilai di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.Beliau berkata, ia berasaskan beberapa alasan antaranya tertuduh mengetahui isterinya berlaku curang pada hari kejadian, malah ketika ditahan dia bukannya berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah."Tertuduh mengetahui isterinya yang sudah bersama hampir 10 tahun serta mempunyai dua anak telah curang pada hari kejadian."Ketika ditahan, tertuduh tidak di bawah pengaruh alkohol atau dadah serta tiada rekod lampau," katanya.Jelasnya, tertuduh juga melakukan dua pekerjaan bagi menanggung keluarga dan mengalami gangguan emosi akibat bebanan kerja sebelum kejadian.Justeru katanya, terdapat keperluan menghantar tertuduh ke psikiatri untuk menilai keadaan mentalnya.Bagaimanapun Majistret Nurul Saqinah Rosli mempersoalkan relevan tertuduh untuk dihantar ke psikiatri.Ahmad berkata, beliau percaya keadaan mental anak guamnya perlu dinilai untuk melihat sama ada dia bersedia untuk dibicarakan.Nurul Saqihah kemudian memaklumkan yang perbicaraan Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi."Jadi mahkamah percaya permohonan perlu dibuat di mahkamah tersebut."Bagi permohonan Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang terpakai kepada tertuduh, permohonan juga perlu difailkan di Mahkamah Tinggi," katanya.Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nor Aqilah Syarfa Nik Zaidi memaklumkan kepada mahkamah yang laporan perubatan, bedah siasat, kimia dan asid deoksiribonukleik (DNA) belum diterima.Mengikut pertuduhan, tertuduh telah mencapai niat dalam menikam dada dan menyebabkan kematian Muhammad Amirul Rashid Mohd Niza yang berusia 28 tahun.Kesalahan itu dilakukan pada 11 Ogos 2025, jam lebih kurang 6.50 petang di sebuah rumah di Taman Seri Pagi, Senawang di Seremban.Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes untuk penyediaan laporan pada 21 November ini.