Masalah disiplin, kurang fokus belajar: NGO gesa kembalikan UPSR dan PT3

ALOR SETAR – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pendidikan menggesa Kerajaan mengkaji semula pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) berikutan kebimbangan terhadap penurunan tahap disiplin dan motivasi pelajar di sekolah hari ini.Yang Dipertua Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Sekolah (PIBKS) Kedah, Zainol Abidin Mohamad berkata, sejak kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan, beliau melihat perubahan ketara dalam sikap pelajar yang kini dilihat kurang serius terhadap pelajaran dan sukar dikawal dari segi disiplin."Sebelum ini, UPSR dan PT3 bukan sekadar peperiksaan bertulis, tetapi menjadi alat pendidikan yang membentuk nilai seperti ketekunan, tanggungjawab dan semangat juang dalam kalangan pelajar," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Menurutnya, penilaian berasaskan sekolah (PBD) yang diperkenalkan sebagai alternatif dilihat masih belum matang dari segi pelaksanaan dan terlalu subjektif tanpa kawalan standard di peringkat nasional."Ramai pelajar belajar sekadar cukup untuk lulus, tanpa sasaran atau cita-cita yang jelas."Ini amat membimbangkan kerana ia memberi kesan jangka panjang terhadap kualiti generasi akan datang," ujarnya.Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar UPSR dan PT3 dikembalikan dalam bentuk yang ditambah baik, dengan gabungan penilaian akademik, sahsiah, projek dan kemahiran insaniah.Tambah Zainol, peperiksaan bukan untuk menekan pelajar, tetapi untuk melatih mereka mengurus masa, berusaha gigih dan menghargai ilmu.Beliau yang telah berkhidmat lebih 45 tahun dalam dunia pendidikan turut menekankan pentingnya keseimbangan antara ilmu, akhlak dan semangat juang dalam membentuk pelajar yang berdaya saing dan berintegriti."Peperiksaan bukan untuk menekan pelajar, tetapi untuk melatih mereka mengurus masa, berusaha gigih dan menghargai ilmu."Jika dilaksanakan dengan perancangan rapi dan latihan guru yang mantap, saya yakin sistem ini mampu mengembalikan semula kegemilangan pendidikan negara."Saya hanya ingin melihat anak-anak kita kembali mencintai ilmu dan menghargai perjuangan menuntutnya. Pendidikan bukan sekadar lulus peperiksaan, tetapi membina insan yang lengkap," katanya lagi.